Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 19:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar — Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menegaskan bahawa ilmu merupakan asas utama kepada kemajuan dan kemakmuran negeri, sekali gus membentuk masyarakat yang bukan sahaja berpengetahuan, malah memahami tanggungjawab sosial mereka.

Baginda bertitah, budaya berfikir, berdialog dan berkongsi ilmu perlu terus disemarakkan agar Perlis berkembang sebagai negeri ilmu yang melahirkan umat beradab, bersatu dan berwawasan.

“Dalam kepelbagaian pandangan, akan lahir kematangan dan kemajuan masyarakat. Pemikiran perlu disatukan dalam semangat perpaduan,” titah baginda.

Menurut baginda, ilmu tidak seharusnya dibatasi oleh pangkat, bangsa atau ideologi, sebaliknya menjadi penghubung yang menyatukan semua lapisan masyarakat melalui nilai keikhlasan, saling menghormati dan kasih sayang sesama insan.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima kunjungan mengadap Presiden Alif Society dari Mauritius, Dawood Auleear, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBhg. Datuk Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam perkembangan berkaitan, Alif Society, sebuah badan kebajikan dari Mauritius, sebelum ini pernah menghantar beberapa pelajar cemerlangnya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Selain itu, Alif Society Mauritius turut menjalin kerjasama strategik dengan MAIPs bagi meneroka dan memperkukuh inisiatif pembangunan sosial serta bantuan kemasyarakatan yang berimpak tinggi dan mampan.

Berdasarkan rekod, Alif Society juga pernah bekerjasama dengan MAIPs dalam menjayakan International Conference on Tajdid bersama Awqaf South Africa, dengan melibatkan penyertaan International Peace College South Africa (IPSA), Medina Institute, Islamia College serta Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC).

Persidangan berkenaan menghimpunkan ilmuwan, sarjana dan penggerak organisasi umat Islam serantau bagi membincangkan pembaharuan pemikiran dan pembangunan ummah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi