Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Bangkok – Negeri Perlis perlu memberikan fokus untuk memanfaatkan lokasi strategiknya bagi menarik pelbagai perniagaan baharu menerusi perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Thailand yang kini mencecah lebih USD24 bilion, titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara jiran itu bersifat saling melengkapi dengan jumlah import dan eksport yang seimbang, sekali gus membuka ruang kerjasama yang luas merentas pelbagai sektor.
“Peluang kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Thailand amat besar memandangkan kedua-dua negara merupakan jiran terdekat serta mempunyai jaringan perhubungan yang banyak dan baik,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis yang berlangsung selama tiga hari di Restoran Phrigkiao @ Siam, Siam Square, di sini.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda kedua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut oleh Pengarah restoran makanan Thai Halal berkenaan, Encik Muhd. Shahrizal yang berasal dari Malaysia, bersama-sama dengan rakan kongsinya, Sarith dari Thailand.
Promosi Masakan Perlis itu dianjurkan oleh pihak pengurusan restoran yang telah beroperasi lebih dua tahun dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Program berkenaan bertujuan memperkenalkan negeri Perlis bersempena dengan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berada di Bangkok bersempena dengan Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah yang turut hadir berkata bahawa antara bidang kerjasama yang wajar diterokai termasuklah sektor ekonomi, industri tempatan, pendidikan, pelancongan, teknologi pertanian serta pemasaran.
Menurut beliau, dalam bidang pendidikan, Bangkok menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka seperti Universiti Chulalongkorn yang unggul dalam jurusan Penyelidikan, Alam sekitar dan Industri; Universiti Mahidol dalam bidang perubatan; serta Universiti Thammasat bagi jurusan Ekonomi dan Sains Sosial.
“Dalam sektor pertanian pula, kerjasama boleh dipertingkatkan merangkumi penyelidikan, pengurusan perkebunan secara kontrak, pemprosesan hasil serta pemasaran produk pertanian,” katanya.