Diterbitkan pada 21 Disember 2025, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangkok – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutupan Rasmi Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menghadiri majlis perasmian penutupan Sukan SEA ke-33 yang diadakan di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.

Turut berangkat sama ialah anakanda kedua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Baginda diperkenalkan kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thamanat Prompow yang menyampaikan ucapan dan seterusnya mengisytiharkan penutupan rasmi sukan SEA ke-33, turut hadir sama, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakorn serta beberapa orang Menteri Kabinet Thailand.

Tirai Sukan SEA 2025 secara rasmi ditutup dalam majlis penuh warna-warni dan bertenaga dengan segmen “The Sound of Whistle” disampaikan oleh penyanyi terkenal Pop Thailand (T-POP), Daou dan Kratae, yang mempersembahkan lagu ikonik Thailand, Rak Nak Naen, yang digubah semula bagi mencerminkan semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan.

Bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA 2025 diturunkan, sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), YBhg. Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai simbolik penyerahan temasya dwitahunan sukan terbesar rantau ini kepada tuan rumah seterusnya.

Terdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembahkan cenderakenangan istimewa sempena temasya sukan yang bermula sejak 9 Disember lepas, daripada Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), YBhg. Datuk Seri Chaiyapak Siriwat di The Grand Fourwings Convention Hotel, Daerah Bang Kapi, Bangkok.

Turut hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA Thailand, YBhg. Datuk M. Rajasekaran.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi