Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Jualan Gudang Mega 2025 di Kompleks DBP Hulu Kelang, bermula pada hari ini hingga 29 Disember depan bertemakan “Buku Idaman, Harga Impian” selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, kritis dan berdaya saing.
Penganjuran Jualan Gudang Mega pada kali ini dilihat bertepatan dengan aspirasi negara untuk melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan dalam era ledakan teknologi maklumat, sekali gus mengekalkan amalan membaca sebagai sumber utama pemerolehan ilmu.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menjelaskan bahawa jualan mega ini bukan sahaja menjadi platform mempromosikan hasil karya tempatan, malah membuka ruang pertukaran pandangan, perkongsian pengalaman serta jaringan kerjasama antara penggiat industri penerbit tempatan dengan penerbit antarabangsa.
“Kehadiran penerbit daripada pelbagai syarikat turut mencerminkan sifat sejagat buku sebagai medium perpaduan dan persefahaman antara budaya,” jelas beliau.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut menegaskan bahawa minat terhadap buku merupakan cerminan kecintaan mendalam terhadap ilmu pengetahuan, selain menjadi asas pembentukan tamadun yang gemilang.
“Buku disifatkan sebagai khazanah pemikiran ilmuwan merentas zaman, bangsa dan sempadan negara yang berperanan menanam nilai serta membina peradaban,” katanya.
Penekanan terhadap pembacaan, agama dan tamadun Islam sering meletakkan ilmu sebagai asas kehidupan, sebagaimana wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW yang bermula dengan perintah Iqra (bacalah).
“Perintah ini bukan sekadar seruan, sebaliknya merupakan simbol agung bahawa asas sebenar kehidupan manusia berpaksikan ilmu,” jelasnya lagi.
Mengulas cabaran industri buku, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menjelaskan bahawa industri buku kini sedang bergelut dengan cabaran baharu susulan peralihan ke era digital serta peningkatan pilihan hiburan, namun minat terhadap buku fizikal masih kekal relevan dan utuh dalam kalangan pencinta buku.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) komited menyokong pembangunan ekosistem perbukuan yang mampan, termasuk inisiatif menggalakkan pembacaan dalam kalangan generasi muda serta memodenkan industri penerbitan negara,” tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, DBP turut menyediakan bahan bacaan dalam format digital menerusi platform JendelaDBP, yang menawarkan 74 judul buku audio, 406 judul buku ePub dan 1212 judul buku PDF. Selain itu, pemberian baucar bernilai RM200 turut disediakan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan buku digital terbitan DBP.
“Pembangunan industri penerbitan, pengkaryaan dan penulisan perlu dirancang secara strategik selaras dengan perkembangan semasa, termasuk melalui penganjuran pesta dan jualan buku seperti Jualan Gudang Mega bagi memenuhi keperluan pelanggan,” ujarnya lagi.
YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut merakamkan penghargaan kepada DBP, Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, MBKM, Perbadanan Kota Buku (PKB), serta 15 penerbit yang terlibat dalam penganjuran program berkenaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, YBrs. Encik Isyak Hamzah menyatakan bahawa Jualan Gudang Mega ini dilaksanakan berikutan kesediaan DBP membuka ruang dan peluang kepada penerbit luar untuk membina sinergi dalam penganjuran acara tersebut.
“DBP merupakan sebuah nama besar dan jenama terkemuka dalam industri penerbitan buku yang memberikan peluang dan kemudahan logistik kepada penerbit industri buku”, jelas beliau.
Beliau menambah, edisi Jualan Gudang Mega pada kali ini menyaksikan peningkatan penyertaan sebanyak 15 penerbit, berbanding dengan edisi 1.0, hanya 10 penerbit sahaja. Keadaan ini sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan buku kepada pengunjung.

Pada masa yang sama, majlis turut dimeriahkan dengan gimik perasmian yang disempurnakan oleh YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sebagai simbolik perasmian pembukaan Jualan Gudang Mega.
Pada kesempatan ini juga, petugas JendelaDBP turut berkesempatan menemuramah seorang pengunjung dari luar bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas tentang penerbitan buku DBP merangkumi kualiti kandungan dan kepelbagaian genre.
Jelasnya,
“Saya amat gemar membaca buku bukan fiksyen terbitan DBP kerana mengandungi maklumat yang bermanfaat, selain judulnya juga menyajikan pengalaman membaca yang menarik dan mampu menambah pengetahuan saya.”

Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Zulfa Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Encik Sakri Abdullah; Pengarah Jabatan Penerbitan, Encik M. Azahari Edin; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai, Ketua-ketua Bahagian serta pegawai kanan DBP.
