Diterbitkan pada 20 Disember 2025, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Chonburi – Dalam usaha mengejar misi memungut pingat, atlet yang bertanding dalam Sukan SEA Thailand diingatkan agar sentiasa bertanding dengan adil serta mengekalkan semangat kesukanan.

Kejayaan seseorang atlet tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan guru, jurulatih, serta sokongan padu daripada ibu bapa kerana mereka telah mencurahkan masa, tenaga dan dedikasi demi membimbing atlet mencapai potensi terbaik masing-masing.

Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga kepada atlet wajar diberikan penghargaan kerana mereka merupakan pendorong utama yang sentiasa menyokong seseorang atlet untuk terlibat aktif dalam sukan.

Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang telah berkenan berangkat ke Chonburi, Thailand bersempena dengan Sukan SEA ke-33 Thailand 2025, pada jumaat.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat lokasi pertandingan Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 yang diadakan di Chonburi, Thailand.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan juga anakanda kedua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyantuni atlet Malaysia yang bertanding di Sukan SEA ke-33 Thailand 2025.

Turut mengiringi baginda ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA Thailand, iaitu YBhg. Datuk M. Rajasekaran.

Antara lokasi yang dikunjungi baginda berdua semalam termasuklah acara bola lantai (floorball) dan hoki di Thailand National Sports University Chonburi, serta bola tampar pantai di Sports Arena Jomtien Beach.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi