Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan pelantikan YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin bin Dato’ Paduka Haji Mohamed untuk pemangkuan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP yang akan berkuat kuasa pada 22 Disember 2025.
Pelantikan itu diumumkan dalam pertemuan khas bersama-sama dengan Pengurusan Tertinggi DBP yang berlangsung di Menara DBP, di sini. Pelantikan ini adalah bagi menggantikan YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan yang telah bersara wajib pada Oktober 2025.

Sebelum ini, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Haji Mohamed merupakan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera. Beliau telah berkhidmat di DBP selama 25 tahun, bermula pada tahun 2000.
Dalam tempoh perkhidmatan tersebut, beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (2017–2019), Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (2019–2022) serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2022–2025), dan bertugas di Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan; Bahagian Agama; Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam; DBP Wilayah Timur; Bahagian Buku Umum; Bahagian Buku Sekolah; Bahagian Majalah; serta Bahagian Promosi dan Pengiktirafan.
Meniti kejayaan sepanjang perkhidmatannya di DBP, beliau telah dianugerahkan Pingat Mahkota Perlis (P.M.P) pada tahun 2017, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2005, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020.
Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengembangan bahasa, sastera serta terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik DBP. Berdasarkan kepakaran dan pengalaman tersebut, beliau diyakini dapat memperkukuh peranan DBP sebagai institusi peneraju bahasa, sastera dan persuratan Melayu pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
DBP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin bin Dato’ Paduka Haji Mohamed atas pemangkuan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP dan selamat menjalankan tugas.
Pengalaman Bertugas: