Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSongkhla – Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat bandar Hatyai, Thailand dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan berikutan keadaan bandar itu yang masih terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda kawasan berkenaan kira-kira tiga minggu lalu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata bahawa proses pembersihan pascabanjir masih giat dijalankan dan banyak kenderaan berat serta lori berada di sekitar bandar tersebut bagi tujuan kerja-kerja pemulihan.
“Sebahagian besar premis makanan dan pusat tumpuan pelancong masih belum dibuka, selain risiko penularan penyakit pascabanjir yang semakin membimbangkan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pusat-pusat perubatan di Hatyai kini beroperasi pada tahap hampir maksimum, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk menerima pesakit baharu.
Ahmad Fahmi berkata demikian berdasarkan kenyataan yang dikongsikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas beliau menerima sumbangan simbolik Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 daripada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerosakan harta awam akibat banjir dianggarkan mencecah sebanyak RM1.3 bilion, manakala hujan lebat dijangka berterusan hingga 20 Disember 2025, sekali gus berpotensi melambatkan proses pemulihan sepenuhnya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan agar rakyat Malaysia hanya mempertimbangkan lawatan ke Hatyai selepas kerja-kerja pembersihan selesai dan premis perniagaan serta lokasi pelancongan dibuka semula sepenuhnya.
Terdahulu, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda kedua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, berkenan meninjau beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Hatyai.
Lawatan berkenaan turut diiringi oleh Ahmad Fahmi sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi semasa yang dihadapi penduduk tempatan.