Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama-sama media sebagai rakan penting dalam menyampaikan dasar, aspirasi dan reformasi pendidikan negara kepada rakyat,” kata Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Malam Jalinan KPM-Media Tahun 2025 yang berlangsung semalam di Tenera Hotel & Suites, yang bertujuan memberikan kepada pengamal media atas peranan dan sumbangan berterusan mereka terhadap KPM.

Menurut YB Fadhlina, pendidikan di Malaysia tidak bergerak dalam ruang tertutup, sebaliknya berkembang di bawah pemerhatian, liputan dan penelitian media yang bertindak sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan realiti rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Media membantu memantulkan realiti yang kadangkala tidak selesa untuk kita hadapi, seperti isu beban tugas guru, keselamatan murid, keciciran pelajar dan jurang pendidikan. Namun begitu, pantulan itu amat penting untuk penambahbaikan sistem pendidikan di negara ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kritikan media yang berfakta dan berimbang bukan ancaman kepada kementerian, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sebuah demokrasi yang sihat.

“Kritikan yang jujur perlu didengari walaupun tidak menyenangkan. Apabila kita berani berhadapan dan memberikan jawapan serta penyelesaian, isu-isu pendidikan dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.

Dalam ucapannya, YB Fadhlina turut menyentuh usaha reformasi pendidikan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh tiga tahun lalu, yang disifatkan sebagai perjalanan mencabar dengan pelbagai isu sistemik berlapis.

Antara fokus utama reformasi ialah memastikan keadilan pendidikan untuk semua murid tanpa mengira latar belakang, termasuk murid di bandar, luar bandar dan pedalaman serta kebajikan guru sebagai tunjang sistem pendidikan negara.

Beliau memaklumkan bahawa sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 52,948 orang guru telah dilantik, sekali gus mencatatkan kadar pengisian tertinggi dalam sejarah, selain usaha bagi mengurangkan beban tugas guru dengan menyemak sistem pentadbiran yang membebankan.

“Guru perlu diberikan ruang untuk mendidik dan mentadbir dengan baik, bukan dibebani kerja pentadbiran yang berlebihan,” katanya.

Dalam menangani kesan pembelajaran akibat pandemik, YB Fadhlina berkata KPM telah melaksanakan intervensi berfokus yang berjaya memulihkan penguasaan asas 3M (membaca, menulis dan mengira) bagi hampir 400,000 murid di seluruh negara.

Beliau turut menekankan mengenai pelaksanaan dasar pendidikan wajib hingga ke peringkat menengah sebagai mesej tegas bahawa tiada anak Malaysia boleh tercicir terlalu awal daripada sistem pendidikan.

“Dasar ini berjaya dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mendapat sokongan luas, termasuk hasil peranan media yang membantu menjelaskan kepentingannya kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bermesra bersama-sama pengamal media semasa majlis berlangsung.

Selain itu, YB Fadhlina turut menyentuh pendekatan penyelesaian kemiskinan pendidikan secara multidimensi yang bukan hanya tertumpu pada faktor ekonomi, tetapi turut melibatkan isu kesihatan, nutrisi, sokongan keluarga dan persekitaran sosial.

Dalam konteks itu, beliau berkata peluasan sekolah K9 (Model Khas Komprehensif 9, untuk pelajar menengah rendah) dan K11 (Model Khas Komprehensif 11, untuk pelajar menengah atas) telah menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan keciciran murid, khususnya dalam kalangan murid daripada keluarga berisiko, selain pelaksanaan intervensi awal pendidikan seawal usia empat tahun.

Dalam majlis tersebut, YB Fadhlina turut mengajak rakan-rakan media agar terus membantu menangkis maklumat palsu dan fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan.

“Fitnah bukan sahaja merosakkan dasar, malah melemahkan keyakinan masyarakat. Kerjasama daripada pihak media amat penting untuk memastikan maklumat yang tepat dan berintegriti sampai kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau juga berharap media dapat terus mengangkat kisah-kisah bermakna dalam dunia pendidikan, termasuk kejayaan sekolah, guru dan murid, agar naratif positif dapat dikongsi bersama-sama masyarakat.

Majlis Malam Jalinan KPM dan Media 2025 itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hasim; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Azam Ahmad, pegawai kanan kementerian serta rakan-rakan media dari pelbagai agensi.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi