Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuncak Alam – Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE) UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan bengkel etika meja makan bertajuk “Table Etiquette: Polish Your Poise” baru-baru ini bertempat di Restoran Safron Hotel UiTM, Kampus Puncak Alam.
Bengkel etika meja makan yang dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan tahap profesionalisme, keyakinan diri dan kemahiran sosial ketika menghadiri majlis rasmi.
Program ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan serta pemegang taruh berkepentingan, mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kerja yang beretika dan berdaya saing.
Bengkel ini menekankan pendekatan pembelajaran secara praktikal melalui sesi santapan mewah (fine dining) yang direka khusus untuk memberikan pendedahan menyeluruh tentang tatacara dan adab ketika menjamu selera.
Penceramah jemputan, YBrs. Dr. Mohd Noor Ismawi Ismail dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, membimbing peserta mengenai protokol meja makan, termasuk etika perbualan, posisi dan penggunaan peralatan makan, serta cara mengendalikan situasi tertentu dalam majlis formal.

Beliau menerangkan secara terperinci dan menunjukkan demonstrasi, serta memberikan peluang kepada peserta mempraktikkan etika yang betul, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap peri pentingnya penyampaian imej profesional dalam pelbagai urusan rasmi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Rektor iCARE, YBrs. Profesor Dr. Mohd Hafiz Mohd Hanafiah, yang menekankan bahawa penguasaan etika meja makan bukan sahaja melambangkan keperibadian dan profesionalisme seseorang, malah menjadi nilai tambah yang penting dalam konteks perhubungan industri, diplomasi organisasi dan pembinaan jaringan strategik.
Beliau berkata, penganjuran bengkel ini sejajar dengan aspirasi iCARE dalam melahirkan warga UiTM yang bukan sahaja kompeten dari segi akademik dan teknikal, tetapi turut memiliki kemahiran insaniah yang melengkapkan kecemerlangan holistik.
Para peserta menyatakan bahawa bengkel ini membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadiri majlis rasmi serta memahami peranan etika sosial dalam mencerminkan imej universiti.
“Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluas bagi memupuk budaya profesional yang lebih kukuh dalam kalangan warga kampus,” ujarnya.