Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan inisiatif Peruntukan Deeming yang bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara yang teratur, konsisten dan berkesan.

KPM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa dalam ruang lingkup pendidikan, inisiatif baharu itu berpotensi besar untuk meningkatkan tahap keselamatan murid serta seluruh warga pendidikan daripada pelbagai ancaman jenayah siber, termasuk eksploitasi seksual, penipuan dan penyalahgunaan platform digital.

Seiring dengan pengenalan inisiatif tersebut, KPM turut menegaskan komitmennya untuk mempertingkatkan kerjasama strategik dengan semua pemegang taruh berkaitan, termasuk SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan aspek keselamatan digital dalam kalangan murid dan warga pendidikan dapat terus dipertingkatkan.

Sebagai rekod, pelaksanaan Peruntukan Deeming bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, membolehkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih teratur tanpa formaliti pendaftaran yang rumit.

Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi