Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengekalkan reputasinya sebagai penyunting naskhah ilmiah terbaik apabila meraih tempat pertama bagi Anugerah Editor Naskhah Terbaik kategori Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan bersempena dengan Majlis Anugerah MAPIM–KPT ke-16.
Majlis tersebut menyaksikan karyawan DBP, Puan Rohaida Baharudin berjaya memenangi anugerah berkenaan menerusi buku berjudul Arkeologi Maritim di Malaysia dan Asia Tenggara.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.00 berserta plak dan sijil penghargaan.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), YBrs. Profesor Madya Dr. Siti Rahmah Awang di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 9 Disember 2025.
Puan Rohaida Baharudin ketika ditemu bual berkata, anugerah tersebut memberikan suntikan motivasi kepada beliau dan rakan editor yang lain untuk terus menimba ilmu editorial tanpa rasa jemu.
“Pencapaian ini dilihat sebagai sebuah pemangkin kecemerlangan yang memberikan inspirasi kepada karyawan DBP untuk terus berusaha dengan lebih keras untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
“Melalui pengiktirafan yang diterima, DBP membuktikan kemampuannya untuk bersaing dengan penerbit lain bagi menghasilkan karya ilmiah yang berkualiti, di samping mengekalkan imej yang baik dan diyakini dalam dunia penerbitan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, DBP merangkul tempat pertama bagi Anugerah Editor Naskhah Terbaik buat kali ketiga berturut-turut dalam kategori yang sama pada tahun ini, setelah dimenangi oleh Puan Normala Mohamad Yusof pada tahun 2023 dan tahun 2024.
Perasmian Majlis Anugerah MAPIM–KPT ke-16 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Profesor Dr. Zainal Amin Ayub.

Penganjuran anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta usaha karyawan dalam menghasilkan karya akademik ilmiah yang cemerlang.
Sebanyak 76 orang menerima anugerah dalam 22 kategori yang dipertandingkan bagi penilaian tahun 2024, di samping tujuh orang penerima dalam kategori Sanjungan Budi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penilaian MyCite, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Roslan Abd Shukor.
