Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam Negara 2025 yang berlangsung di Dataran Putrajaya melebihi sasaran pada hari terakhir, iaitu sebanyak 304,107 orang pengunjung.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) tersebut melabuhkan tirainya pada hari ini setelah berlangsung selama tiga hari, bermula pada 5 Disember 2025.
Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI, yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Pada masa yang sama, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 diadakan yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri bagi membincangkan hala tuju reformasi perkhidmatan awam.
Majlis penutupan program dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dimulakan dengan persembahan nyanyian pembukaan oleh penyanyi Biduanita Negara, YBhg. Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin.
“Tiga tahun perjalanan Malaysia MADANI menyaksikan keadaan kestabilan politik dan kesepakatan telah membuka laluan kepada dasar serta reformasi yang berani dan pelaksanaan yang jauh lebih teratur.
“Segala pencapaian ini berdiri atas dukungan rakyat pelbagai kaum serta iltizam penjawat awam dan pimpinan yang bekerja tanpa henti demi mengangkat martabat negara,” jelas YAB Dato’ Seri Anwar.

Perdana Menteri juga dijadualkan melancarkan projek rakyat, iaitu Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insurans Kebajikan Rakyat (SIKR) 3.0.
Kedua-dua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memperkasakan komuniti pada peringkat akar umbi.
Sehubungan dengan itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan terus memperkukuh perlindungan sosial dan kebajikan rakyat menerusi kenaikan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion, serta pelbagai langkah lain dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat.
“Semua ini dilaksanakan kerana kerajaan mendengar keresahan yang disuarakan,” ujarnya.
Begitu juga di Sabah dan Sarawak, katanya, isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya kini dipantau secara bulanan melalui penyelarasan Persekutuan–Negeri.
Projek Pan Borneo juga berjalan mengikut jadual, mencerminkan komitmen kerajaan memastikan setiap janji diterjemahkan kepada tindakan.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Datuk Amar Haji Fadillah Yusof bersama-sama barisan Menteri Kabinet, ketua jabatan serta pegawai kanan perkhidmatan awam.

Antara lain yang hadir termasuklah Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Muhamed Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad; dan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Aktiviti pada hari terakhir di pentas utama ialah sesi cabutan bertuah dan demonstrasi Pembersihan Lestari oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Konsortium Indah Water (IWK).
Pelbagai program telah disediakan sebagai penghargaan kepada pengunjung, termasuklah Jualan Madani, yang menawarkan diskaun barangan keperluan, seperti jualan “kembali ke sekolah”, dan karnival kerjaya yang menampilkan 30 majikan dan lebih 5000 peluang pekerjaan.