Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Dua orang rakan karib, Raja Muhammad Izzat Raja Abdul Aziz dan Nur Ezzati Nadhirah Amaram mencipta kenangan bermakna apabila berkongsi pentas kejayaan setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pintar Pengeluaran Tanaman dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-103.
Selain kecemerlangan akademik, kedua-dua mahasiswa yang berusia 24 tahun itu turut aktif mengusahakan tanaman buah tembikai wangi (rock melon) menggunakan kaedah hidroponik.
Inisiatif tersebut bermula apabila Raja Muhammad Izzat mempelajari teknik pertanian moden ketika menjalani latihan industri di Johor Bahru.
Berbekalkan ilmu daripada pengalaman tersebut, mereka mula menjalankan projek tanaman tembikai wangi secara praktikal.
Sebanyak 192 pokok tembikai wangi telah berjaya diusahakan, dan hasilnya menunjukkan perkembangan positif selepas setahun.
Kejayaan tersebut bukan hanya memberikan pulangan dari segi hasil, malah membuka ruang pembelajaran mendalam dalam pertanian pintar.
“Pengalaman ini menyeronokkan kerana kami melihat sendiri hasil tanaman kami, bukan sekadar teori di kelas, tetapi pembelajaran praktikal yang sangat bermakna,” kata mereka.
Selain itu, pasangan graduan ini turut berkongsi motivasi untuk kejayaan kepada pelajar lain.
“Buatlah yang terbaik, jangan menyerah, dan teruskan sahaja walaupun rasa hendak berhenti,” pesan mereka.
“Rajin belajar dan hormat pensyarah serta rakan-rakan menjadi kunci kejayaan ini,” ujar mereka lagi.