Diterbitkan pada 6 Disember 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Kecekapan gerak balas Rejimen 504 Askar Wataniah bukan sahaja berperanan sebagai pasukan sokongan, malah merupakan tonggak utama pertahanan penting negeri Perlis yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang ancaman keselamatan mahupun bencana alam.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa kekuatan luar biasa dapat dibentuk apabila seluruh jentera negeri, termasuklah pasukan keselamatan, agensi teknikal, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti bergerak seiring sebagai sebuah pasukan yang harmoni.

Titah baginda hal yang demikian menjadikan Perlis sebagai negeri yang dinamik, teguh dan berdaya saing.

“Baru-baru ini, negeri kita sekali lagi diuji dengan bencana banjir, namun di sebalik ujian tersebut, beta melihat keberanian, disiplin dan kesiapsiagaan anggota keselamatan, agensi awam, pihak swasta serta rakyat biasa yang turun membantu tanpa ragu.

“Inilah yang dikatakan anak watan yang berani berkhidmat sebagai anggota sukarela Askar Wataniah,” titah baginda.

Demikian titah DYTM, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga selaku  Komander Rejimen 504 Askar Wataniah ketika berkenan menyempurnakan majlis pelancaran Program  Jiwa sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen 504 Ke-45 di pekarangan Gua Kelam, Kaki Bukit, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia, YBhg. Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad dan Timbalan Komander Rejimen, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Pada tahun ini, program Jiwa Murni bukan sekadar meraikan ulang tahun pasukan tersebut, malah memperkukuh hubungan strategik antara institusi ketenteraan, agensi keselamatan, kerajaan negeri serta penduduk setempat yang sentiasa menyokong peranan Rejimen 504 dari aspek keselamatan, kesiapsiagaan dan kebajikan masyarakat.

Sebagai simbolik sambutan ulang tahun, DYTM Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan program tersebut sebelum meninjau kawasan Gua Kelam yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir.

Namun begitu, kawasan berkenaan telah dibersihkan serta secara berperingkat hasil kerjasama daripada Rejimen 504, agensi negeri dan persekutuan, para sukarelawan serta komuniti setempat.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama- sama anggota Rejimen 504 Askar Wataniah berganding bahu melaksanakan kerja pembersihan di kawasan Gua Kelam dalam Program Jiwa Murni bersempena dengan ulang tahun ke-45 pasukan itu.

Pada masa yang sama, baginda turut menyaksikan simbolik penyerahan bantuan kepada 110 keluarga yang terkesan akibat banjir, sekali lagi mencerminkan keprihatinan dan komitmen baginda terhadap kebajikan rakyat di Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi