Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap ahli Parlimen Kinabatangan, YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin telah meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu Sabah, awal pagi tadi.
Datuk Seri Panglima Bung Moktar yang berusia 66 tahun merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi
Anak lelaki Ketua UMNO Sabah itu, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya telah memaklumkan perkara itu pagi ini.
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” ujar beliau.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital, di sini, sejak pagi semalam.
Allahyarham Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.
Kemudian, Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari tahun 1994 hingga 1999. Bermula tahun 1999 beliau telah dipilih sebagai ahli Parlimen Kinabatangan.
Pada 2020, beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari tahun 2020 hingga 2023.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.
Sepanjang pelibatannya dalam politik, Allahyarham dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.
Beliau telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamaq dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini dengan majoriti 153 undi yang mempunyai 13,859 pemilih berdaftar.