Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis dengan kerjasama syarikat konsesi Environment Idaman, telah melaksanakan Pasukan Petugas (Task Force) Pembersihan Pasca Banjir melibatkan operasi pembersihan di 116 kawasan merangkumi 8,910 premis dalam kawasan operasi SWCorp yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Operasi ini digerakkan sebanyak 106 anggota pasukan petugas bersama-sama 36 unit jentera pembersihan, dengan penyelarasan serta pemantauan rapi oleh Bahagian Penguatkuasaan SWCorp.
Tumpuan utama operasi termasuk membersihkan kawasan yang terjejas melalui kerja-kerja pengumpulan, pengangkutan dan pelupusan sisa banjir seperti sisa pukal, perabot rosak, peralatan elektrik, sisa domestik serta barangan yang mengalami kerosakan.
Maklumat ini telah dipersembah maklumkan oleh Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Encik Shamsuharizal Basir kepada DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika baginda berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) meninjau beberapa rumah mangsa banjir terpilih di sekitar Kampung Wang Ulu, Bintong.
Pasukan petugas ini turut diperkukuh melalui kerja-kerja verifikasi lapangan oleh pasukan Penguatkuasaan SWCorp bagi mengenal pasti keperluan tambahan dari aspek logistik dan tenaga kerja, terutamanya di kawasan kritikal. Pendekatan ini untuk memastikan proses pembersihan dapat dipercepat dan kelancaran pemindahan sisa ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Rimba Mas terus terjaga.
Berdasarkan operasi yang dijalankan dari 29 hingga 30 November 2025, sebanyak 32 kawasan telah berjaya dibersihkan dengan jumlah 107.42 tan sisa banjir direkodkan. Baki sebanyak 84 kawasan lagi akan diselesaikan mengikut jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, SWCorp menyeru pemilik premis yang terjejas agar mengeluarkan sisa banjir seperti perabot rosak, barangan terendam, sampah pukal dan bahan buangan lain ke hadapan rumah atau premis masing-masing bagi memudahkan proses kutipan. Kerjasama ini penting untuk memastikan kawasan kembali bersih, selamat dan selesa untuk didiami.
SWCorp turut menyediakan sebanyak 52 unit tong sampah dengan frekuensi kutipan harian di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu pengurusan sisa di lokasi penempatan mangsa banjir.
Sementara itu, Kayuhan MAIPs Peduli merupakan aktiviti berbasikal yang digunakan sebagai medium untuk mendekati masyarakat, menziarahi kampung-kampung serta menyampaikan bantuan zakat dan sumbangan secara terus kepada golongan asnaf.
Inisiatif ini bertujuan menyampaikan bantuan zakat dan sumbangan langsung kepada asnaf, mendekati masyarakat, memahami keperluan sebenar mereka dan menzahirkan keprihatinan melalui pendekatan turun padang serta memperkasa sistem kebajikan dan zakat supaya lebih proaktif, inklusif dan mesra rakyat.
Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Kasa Abdullah, 59 tahun dari Kampung Wang Ulu Bintong; Adnan Abdullah, 59 tahun dari Kampung Bohor Janggus Bintong dan Salbiah Hamid, 73 tahun dari Kampung Wang Ulu Bintong.