Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Perlis Inland Port (PIP) atau Pelabuhan Darat Perlis di Lembah Chuping melakar sejarah apabila kemudahannya ditauliahkan dengan memulakan operasi komersial pada pertama kali secara manual, sebelum beralih ke fasa berperingkat menjelang Februari 2026.
Sebagai hab logistik strategik di utara Malaysia, PIP dibangunkan untuk menguruskan pergerakan kargo dan kontena rentas sempadan Malaysia–Thailand, seterusnya memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu masuk perdagangan serantau.
Kemudahan teras seperti jalan berikat, sambungan landasan rel baharu serta infrastruktur terminal kini siap sepenuhnya, sekali gus membolehkan Perlis Inland Port (PIP) mengambil alih operasi kontena yang sebelum ini bertumpu di Padang Besar Container Terminal (PBCT) yang telah beroperasi melebihi kapasitinya.
Dengan kapasiti fasa pertama mencecah 300,000 TEU setahun, PIP dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan aktiviti logistik, pengurangan kesesakan di sempadan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Selain mengoptimumkan pergerakan kargo rentas sempadan, PIP turut berpotensi muncul sebagai nod penting dalam rangkaian perdagangan ASEAN dan laluan Rel Pan-Asia, seterusnya memperkukuh hubungan logistik Malaysia dengan China. Perkembangan ini dijangka merancakkan kemasukan pelaburan baharu khususnya dalam sektor logistik, perkilangan dan perkhidmatan sokongan industri.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan pelaksanaan operasi masih bergantung pada penyempurnaan beberapa aspek teknikal seperti pensijilan sistem isyarat rel (signalling) serta penyelarasan operasi rentas sempadan antara agensi Malaysia dengan Thailand.
Maklumat perkembangan projek itu telah dipersembahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, YBhg. Datuk Shabaruddin Ibrahim kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena lawatan kerja baginda ke Yard Rel PIP.

Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sepanjang sesi lawatan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau beberapa kawasan utama projek termasuk Pintu Masuk Thailand, Tapak Pemeriksaan (Inspection Area), Landasan Smpanan (Rail Siding), Gudang (Equipment Shed), Menara Kawalan (Control Tower) dan kawasan PIP.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) serta agensi persekutuan kekal komited memastikan PIP beroperasi sepenuhnya mengikut jadual, sekaligus memacu pembangunan ekonomi negeri melalui pembentukan sebuah lab logisitik moden yang berdaya saing pada peringkat serantau.
Yang turut mengiringi baginda sepanjang lawatan tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Yang Berhormat (YB) Mohd Syukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Datuk Rahimi Ismail, serta Ketua Pegawai Operasi PIP,Encik Mohamad Ali Abdul Hussain.