Diterbitkan pada 30 November 2025, 22:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri International Congress on Advances in Autism, Neurodevelopmental and Neurodegenerative Disorders (ICAANND 2025) yang berlangsung di Glamhall, Damansara, hari ini.

Turut berangkat sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengerusi dan Ketua Saintis Yayasan Kesihatan Perkembangan Neuro Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Sri Dr. Mike Chan yang juga merangkap penganjur kongres.

Kongres antarabangsa ini diadakan bagi menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik dan pengamal profesional dari dalam serta luar negara, dengan tumpuan kepada autisme, gangguan perkembangan saraf dan penyakit neurodegeneratif.

ICAANND 2025 bertujuan berkongsi perkembangan penyelidikan terkini, inovasi rawatan serta strategi intervensi bagi meningkatkan kualiti hidup individu yang mengalami kondisi neuro-perkembangan dan neurodegeneratif.

Prof. Datuk Sri Dr. Mike Chan dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu Institusi Diraja Perlis (IDP), khususnya DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta memuji usaha pembangunan A-HEART Autism Hub di Perlis sebagai model pusat autisme progresif di negara ini menjelang 2028 kelak.

Sepanjang dua hari penganjurannya, kongres tersebut turut menyaksikan penyertaan aktif antara pakar perubatan, pengamal perubatan komplementari, penyelidik neuroperkembangan dan pengamal intervensi awal menerusi pembentangan pelbagai kajian kes, protokol rawatan serta amalan profesional terkini.

Beliau turut berkongsi perancangan menubuhkan sebuah yayasan bukan berasaskan keuntungan khusus untuk kanak-kanak autisme, dengan fokus kepada latihan klinikal rentas negara, perkongsian protokol berasaskan bukti serta sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Prof. Datuk Sri Dr. Mike Chan juga menyifatkan keberangkatan baginda berdua sebagai “detik penting” yang berpotensi membuka ruang kerjasama nasional baharu dalam usaha memperkukuh intervensi awal serta penjagaan autisme berasaskan bukti.

Profesor Datuk Sri Dr. Mike Chan ketika menyampaikan ucapannya di hadapan khalayak.

Sehubungan dengan itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akahsah selaku Tuanku Pro Canselor terus memainkan peranan utama dalam pembangunan A-HEART Autism Hub, dalam usaha menyediakan latihan profesional, outreach komuniti, pengesanan awal dan sokongan keluarga di utara tanah air melalui kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Selain itu, lawatan tersebut turut merangkumi tinjauan ke A-HEART Autism Hub serta sesi perbincangan strategik bersama–sama IDP bagi memperkukuh ekosistem sokongan autisme di Malaysia.

Berdasarkan rekod, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerajui beberapa inisiatif komuniti, termasuk program intervensi pendidikan dan kebajikan sosial.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyampaikam penghargaan kepada Prof. Datuk Sri Dr. Mike Chan
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan penghargaan kepada Profesor Datuk Sri Dr. Mike Chan, yang juga disaksikan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi