Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetia Alam – Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City selama 10 hari mula membuka tirai pada hari ini.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Dalam majlis terbesut, baginda turut berkenan melancarkan buku The Mysterious & Magical World of Fireflies Kampung Kuantan, Kuala Selangor karya Hajah Embon Abdullah serta melawat reruai yang berada dalam SIBF 2025.
Turut berangkat sama mengiringi banginda ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Pengarah PPAS, YBhg. Datin Paduka Mastura Haji Muhamad dalam sembah ucapannya berkata, SIBF 2025 merupakan suatu ikhtiar pihaknya untuk menyediakan ruang idea, budaya, pembelajaran dan kreativiti dapat berkembang.
Ujar beliau, pihaknya komited untuk terus berusaha dengan lebih gigih agar inisiatif berkenaan dapat memberikan manfaat kepada rakyat Selangor, khususnya generasi muda yang merupakan harapan pada masa hadapan.
Bersempena dengan SIBF pada tahun ini, beliau memaklumkan penganjurannya mencatat sejarah apabila buat julung-julung kalinya Bengkel Duta yang diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam melibatkan penyertaan pembicara dari Asia, Eropah, Afrika dan China.
“Bengkel ini dianjurkan khas untuk mereka yang profesional dalam bidang literasi seperti penulis, penterjemah, penerbit, ilustrator dan ejen sastera bagi membina jaringan serta memperoleh ilmu berharga dalam usaha mengembangkan kerjaya kreatif merentas sempadan,” katanya.

Menurut Mastura, beliau mengakui bahawa tidak pernah membayangkan inisiatif perpustakaan yang kecil ini akan diiktiraf pada peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
“Sepanjang tahun berlalu, kami menyertai pelbagai pesta buku dan acara perpustakaan antarabangsa, semuanya dipilih dengan tujuan yang jelas, iaitu untuk belajar, bertukar ilmu, dan membawa pulang idea bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kami,” jelasnya.
“Namun, setiap kemajuan walaupun kecil, tetap mengukuhkan keyakinan kami bahawa ilmu, buku dan pembacaan terus memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat,” tambahnya lagi.
Sementara itu, SIBF 2025 yang memasuki tahun ketiga pada kali ini menampilkan 14 buah delegasi negara dengan empat orang panel dalam Forum Antarabangsa Selangor serta 13 orang felow antarabangsa.
Malah, dua negeri luar tumpuan yang terpilih menjadi tetamu dalam pesta buku tersebut ialah Guangdong, China dan Tamil Nadu, India yang diwakili oleh delegasi 10 buah penerbit, di samping Pulau Pinang sebagai negeri tamu domestik.
Selain menawarkan pelbagai buku daripada penerbit tempatan dan antarabangsa, SIBF 2025 turut diserikan dengan pengisian kegiatan menarik seperti sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif, aktiviti keluarga, serta cabutan bertuah RM500 bagi setiap pembelian RM30 dengan 10 pemenang setiap hari.
Majlis tersebut turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Tuan Mohd Najwan Halimi; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, YBhg. Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin dan wakil duta asing.
SIBF 2025 akan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam, dan orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut boleh melayarai laman sesawang rasmi SIBF, https://sibf.my/ atau saluran media sosial rasmi PPAS.
