Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), YBrs. Encik Meor Ismail Meor Akim mengiringi Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana Banjir Negeri Perlis di Dewan 2020 Kangar, semalam.
Berangkat bersama-sama baginda berdua, Duli Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Menurut Encik Meor Ismail, situasi keadaan banjir pada masa ini masih terkawal walaupun negeri itu sedang mengalami episod hujan berterusan berdasarkan ramalan semasa.
“Perlis pernah mengalami banjir besar pada tahun 2010, dan kali ini juga luar biasa dengan saya melihat semua agensi bersiap siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan,” jelas beliau.
Sepanjang lawatan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan agihan sumbangan daripada Syarikat Glide Group of Companies dengan kerjasama Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis kepada mangsa banjir, selain menyantuni dan meluangkan masa bersama-sama mereka yang terkesan dalam bencana ini.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berbangga dengan kesepaduan dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan setiap operasi menyelamat serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir dengan cekap dan sistematik.


Sebelum itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulaill dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan dan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tambun Tulang, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan Sekolah Kebangsaan (SK) Panggau.