Diterbitkan pada 27 November 2025, 19:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pauh Putra – “Graduan diseru agar tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata, tetapi perlu memikirkan kesan dan sumbangan mereka kepada komuniti. Keusahawanan yang berteraskan nilai akan membantu mereka membina ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing,”

Demikian titah yang dizahirkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  selaku Tuanku Canselor menerusi rakaman video yang ditayangkan sempena Sidang Kelapan Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra,baru baru ini.

Baginda bertitah bahawa perubahan pesat teknologi serta landskap pekerjaan pada masa kini menuntut graduan untuk terus belajar dan menyesuaikan diri.

“Ilmu tidak berakhir dengan sekeping sijil, sebaliknya berkembang melalui pengalaman dan usaha berterusan. Dengan semangat ingin tahu dan keazaman yang tinggi, graduan PDCE mampu melangkah lebih jauh dan menyumbang kepada kemajuan negara,” ujar baginda.

Menurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Graduan Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menguasai kemahiran digital serta bersikap fleksibel dalam menghadapi perubahan arus dunia pekerjaan masa kini.

“Kecerdasan buatan dan automasi bukan lagi pilihan, tetapi menjadi keperluan untuk kekal relevan. Justeru, teknologi wajar digunakan secara bijak dan beretika agar kemajuan yang dicapai membawa manfaat kepada semua pihak”, jelas baginda lagi.

Istiadat Konvokesyen UNIMAP telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia (YAM) Pro Canselor 2 UniMAP, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

YAM Pro Canselor 2 UniMAP, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail menganugerahkan ijazah kepada graduan UniMAP.

Berdasarkan rekod, sebanyak 313 graduan dari Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) UniMAP menerima penganugerahan dalam sidang konvokesyen tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi