Diterbitkan pada 27 November 2025, 19:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menegaskan komitmen penuh untuk menangani isu disiplin selepas satu insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan murid di sebuah sekolah di negeri itu tular baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, JPN Kedah memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya berhubung kejadian tersebut, manakala pihak sekolah turut menyelesaikan siasatan dalaman secara menyeluruh.

Menurut kenyataan itu, hukuman tegas berupa penggantungan sekolah serta buang sekolah telah dikenakan terhadap murid yang didapati bersalah.

“JPN Kedah tidak berkompromi dalam isu buli, keganasan dan salah laku murid. Semua institusi pendidikan di negeri ini diingatkan agar mematuhi prosedur pengurusan disiplin semasa, mengutamakan keselamatan murid serta melaksanakan intervensi pencegahan,” jelas kenyataan tersebut.

JPN Kedah turut menegaskan bahawa langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga pendidikan terus terpelihara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi