Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra –Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar siswazah sebagai golongan cendekiawan yang dibentuk dengan acuan ketinggian budi dan integriti hendaklah menjadi insan yang berilmu dengan menyebarkan kasih serta menyemai persefahaman dalam kalangan masyarakat.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan keyakinan yang tinggi bahawa graduan universiti yang merupakan generasi pewaris pada masa hadapan mampu meneruskan perjuangan untuk membangunkan tanah air melalui inovasi serta pemikiran baharu.
“Ada dalam kalangan siswazah yang telah memperoleh pekerjaan dan ada yang masih berusaha mencari peluang. Saya memahami bahawa setiap daripada kita mahukan pendedahan dan pengalaman yang segar dan baharu.
“Namun begitu, saya juga ingin menyeru kepada semua siswazah agar dalam tempoh lima tahun atau enam tahun akan datang, kembangkan kerjaya masing-masing dengan menjana kerjaya kedua melalui bidang perniagaan,” titah baginda.
Demikian titah DYTM Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail menerusi rakaman video langsung bersempena dengan Sidang Keenam Istiadat Konvokesyen ke-20, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Dalam majlis istiadat tersebut, DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro-Canselor UniMAP berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis konvokesyen pada sesi petang.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Naib Canselor UniMAP, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Sidang ini menyaksikan sebanyak 529 graduan daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) menerima penganugerahan masing-masing.
