Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan selamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada semua pelajar tingkatan lima di negeri Perlis.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mendoakan agar semua calon dipermudah urusan oleh Allah SWT serta dikurniakan ketenangan jiwa, kefahaman yang jelas dan ketajaman minda ketika menjawab soalan, khususnya bagi mereka yang terkesan dengan bencana banjir di beberapa kawasan di negeri tersebut.
“Para pelajar hendaklah terus kekal fokus dan berdisiplin, serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Dalam tempoh peperiksaan ini, jagalah kesihatan diri dan pastikan rehat yang mencukupi,” titah baginda.
Baginda berkenan berangkat meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Bencana Banjir Negeri Perlis di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, yang baru dibuka semalam dan menempatkan sebanyak 283 orang mangsa.
Berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta kedua-dua puterinya, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Dalam lawatan tersebut, baginda diberikan taklimat mengenai calon peperiksaan SPM 2025 di Perlis, iaitu sebanyak 3,754 calon yang akan menduduki peperiksaan di 36 pusat peperiksaan yang telah ditetapkan. Setakat ini, sebanyak 393 calon dikenal pasti terjejas akibat banjir, manakala lima pusat peperiksaan turut dilaporkan terjejas, melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-MAAD, SMK Datuk Sheikh Ahmad, SMK Agama Arau dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.
Sementara itu, sebanyak 29 sekolah di Perlis melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepenuhnya pada hari ini berikutan situasi banjir yang menjejaskan kehadiran warga sekolah.
Langkah ini melibatkan sebanyak 17 buah sekolah rendah serta selebihnya sekolah menengah, bagi memastikan sesi pembelajaran pelajar dan murid tidak terganggu.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar semua calon SPM dikurniakan kelancaran sepanjang peperiksaan dan mencapai keputusan yang cemerlang demi masa hadapan diri, keluarga dan negeri Perlis.

