Diterbitkan pada 26 November 2025, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jitra – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan berlaku kejadian banjir kilat secara tiba-tiba di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, pada 25 November 2025 sekitar pukul 1.20 tengah hari, melibatkan kawasan pekarangan dewan peperiksaan dan beberapa bahagian sekolah ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui JPN Kedah, semasa peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1, air mula naik di kawasan sekolah. Susulan itu, pegawai Sektor Pengurusan Peperiksaan (SPP) JPN Kedah telah hadir ke lokasi dan mengambil tindakan segera dengan memindahkan 17 calon yang menduduki Pendidikan Seni Visual (PSV) Kertas 1 ke SMK Tanjung Pauh bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan dengan selamat dan mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan.

Bagi peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2, semua 163 calon SMK Jitra, termasuk calon persendirian, dipindahkan ke SMK Bandar Baru Darulaman yang telah disediakan lebih awal sebagai pusat peperiksaan alternatif.

Proses pemindahan dikendalikan oleh pihak sekolah dengan bantuan trak polis, kenderaan guru serta sokongan waris dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.

Pihak sekolah bersama-sama dengan pegawai SPP dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus melakukan pemantauan paras air secara berterusan, manakala JPN Kedah pula memastikan segala keperluan logistik, keselamatan dan pelaksanaan peperiksaan berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.

JPN Kedah menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua pihak yang membantu memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan tanpa gangguan demi kepentingan calon.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi