Diterbitkan pada 25 November 2025, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya berlangsung mengikut jadual di seluruh negara meskipun Malaysia kini berada dalam musim tengkujuh dan beberapa kawasan dilanda banjir. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad, yang memaklumkan bahawa pelaksanaan peperiksaan pada hari pertama berjalan dengan lancar tanpa gangguan besar.

Beliau berkata bahawa semua 16 pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengesahkan pergerakan calon serta pengurusan pusat peperiksaan berada dalam keadaan teratur. Maklumat itu diterima pada pukul 6.30 pagi tadi sebelum sesi peperiksaan bermula.

Menurutnya, SPM pada tahun ini kembali dilaksanakan mengikut jadual asal pada bulan November dan Disember, seperti amalan sebelum pandemik COVID-19. Keputusan pemulangan jadual itu menyebabkan peperiksaan bertembung semula dengan musim tengkujuh dan risiko banjir. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat persediaan rapi bagi memastikan pelaksanaannya tidak terganggu.

YBrs. Dr. Mohd Azam berkata bahawa antara langkah paling penting yang diambil termasuklah penganjuran mesyuarat penyelarasan di bawah Operasi Payung (OPS Payung) bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mesyuarat itu menyelaras keperluan logistik serta bantuan kecemasan kepada calon dan pengawas peperiksaan yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, KPM juga turut mengadakan simulasi pengurusan peperiksaan dalam situasi banjir di Kuala Terengganu pada September atau Oktober lalu bagi mengenal pasti cabaran sebenar semasa hari peperiksaan. Simulasi itu turut melibatkan laluan pergerakan calon, penempatan kertas soalan dan tindakan segera jika pusat peperiksaan terputus hubungan.

Dalam masa sama, kementerian turut menjalankan libat urus awal dengan ibu bapa bagi calon yang dikenal pasti berisiko tinggi terputus hubungan kerana tinggal di kawasan yang sering dinaiki air. Menurut YBrs. Dr. Mohd Azam, sebahagian pelajar telah dipindahkan lebih awal ke asrama sekolah yang menjadi pusat peperiksaan bagi mengelakkan kesulitan semasa hari peperiksaan.

Beliau berkata bahawa langkah keselamatan turut melibatkan penyimpanan kertas soalan di lokap balai polis bagi pusat peperiksaan yang berada berhampiran dengan sungai atau kawasan yang mungkin terputus jalan apabila berlaku banjir. Tindakan itu diambil untuk memastikan kertas peperiksaan selamat dan dapat diedarkan tepat pada waktunya.

Sementara itu, KPM juga berhubung rapat setiap hari dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi mendapatkan ramalan cuaca terkini. Maklumat itu kemudiannya disalurkan kepada JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengambil tindakan segera sekiranya berlaku perubahan cuaca.

Setakat pukul 5 petang semalam, sebanyak 259 orang calon SPM dikenal pasti terkesan akibat banjir di beberapa negeri. Namun begitu, menurut data yang diterima, hampir semua calon berjaya menduduki peperiksaan sama ada di pusat asal mereka atau di pusat peperiksaan alternatif yang telah disediakan. 

YBrs. Dr. Mohd Azam berkata bahawa perkara itu membuktikan kecekapan petugas peperiksaan serta keberkesanan kerjasama agensi penguatkuasa yang membantu memindahkan calon ke lokasi peperiksaan.

Beliau menjelaskan bahawa cabaran penggunaan sekolah sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut diambil kira dalam perancangan awal. Kebiasaannya, dewan sekolah dijadikan PPS, tetapi jika dewan diperlukan untuk peperiksaan, bilik darjah akan berfungsi sebagai ruang ganti. Jelasnya lagi, perkara itu bukan isu besar kerana perancangan rapi telah dilakukan lebih awal.

Menurut YBrs. Dr. Mohd Azam, Lembaga Peperiksaan (LP) mempunyai pengalaman luas menguruskan peperiksaan awam sejak era Malaysia Certificate of Education (MCE) pada tahun 1970-an hingga ke hari ini. Beliau yakin pengalaman dan kepakaran pegawai penilaian di JPN dan PPD, membolehkan pengurusan SPM 2025 berjalan lancar.

Pada tahun ini, SPM telah membabitkan sebanyak 413,372 orang calon yang terdiri daripada calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah di bawah agensi lain seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), calon sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar, calon persendirian dan sekolah menengah agama rakyat.

Peperiksaan bertulis bermula pada hari ini dengan kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, manakala ujian lisan dan ujian mendengar telah dilaksanakan terlebih dahulu.

Menutup kenyataan, YBrs. Dr. Mohd Azam menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), PIBKS dan ibu bapa yang membantu menjayakan kelancaran SPM pada hari pertama ini. Beliau turut mendoakan agar semua calon dipermudahkan urusan sepanjang peperiksaan berlangsung.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi