Diterbitkan pada 24 November 2025, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Petugas perubatan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap seorang mangsa di pusat pemindahan sementara, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan tahap kesihatan mangsa kekal terjamin.

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyeru rakyat negeri ini untuk terus mematuhi arahan agensi keselamatan serta mengikuti makluman terkini bagi memastikan proses pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat.

Baginda bertitah bahawa kepatuhan terhadap arahan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) amat penting bagi mengelakkan risiko baharu, susulan banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di Perlis.

Baginda turut menekankan keperluan memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Bantuan Bencana, khususnya di kawasan berisiko tinggi dan mudah terputus hubungan.

“Pelaksanaan SOP wajar diperkemas, terutamanya bagi menangani isu mangsa terkandas dan laluan terputus seperti di Wang Kelian. Penggunaan teknologi moden seperti dron juga perlu dioptimumkan bagi tujuan pemantauan serta penghantaran bantuan ke lokasi yang sukar ditembusi,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendekati kawasan berarus deras, berwaspada terhadap kabel elektrik terdedah serta berhati-hati dengan kemungkinan kehadiran haiwan berbisa. Kanak-kanak juga perlu dielakkan daripada bermain di kawasan yang dinaiki air.

Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berangkat meninjau keadaan banjir dan menyantuni para mangsa di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Padang Besar, antaranya termasuklah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mata Air dan PPS Dewan Felda Mata Air. Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat sama.

Ketibaan Baginda berdua disambut oleh Penghulu Bahagian Pentadbiran Daerah yang juga Urus setia Jawatankuasa Bencana Negeri, Encik Reswan Ramli, serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd. Nazim Haji Mohd. Noor.

Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan seperti Wang Kelian, Titi Tinggi dan Lubuk Sireh dilanda banjir.

Ketika ini, PPS SK Felda Mata Air telah menempatkan sebanyak 264 mangsa dari Titi Tinggi, susulan penutupan PPS SK Titi Tinggi kerana keadaan air yang membahayakan. PPS Dewan Felda Mata Air pula menempatkan sebanyak 90 mangsa. PPS SK FELCRA Lubuk Sireh pula menempatkan sebanyak 71 mangsa.

Situasi lebih kritikal berlaku di PPS Masjid Nurul Husna, Wang Kelian, yang menempatkan sebanyak 150 penduduk serta kira-kira 500 pelancong dan pengembara yang terkandas selepas laluan pulang dari Thailand terputus akibat banjir.

Pembukaan dan pengurusan PPS berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai agensi, antaranya termasuklah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang menyediakan sekolah, dewan dan masjid sebagai pusat perlindungan.

MAIPs bersama-sama dengan Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan JKM turut menyalurkan bantuan awal pengurusan.

Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa digerakkan dengan kecekapan pasukan keselamatan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, JBPM, APM serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi