Diterbitkan pada 21 November 2025, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM),Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar kepimpinan tertinggi di negeri Perlis terus memperkukuh komitmen dalam usaha membawa negeri itu ke tahap pembangunan yang tinggi melalui perancangan strategik, serta pembentukan mentaliti yang progresif dan berdikari dalam kalangan Masyarakat.

Baginda bertitah bahawa usaha serta inisiatif semasa tidak lagi memadai untuk memacu negeri itu ke hadapan, lantas satu pendekatan menyeluruh perlu digerakkan, iaitu merangkumi kepimpinan negeri hingga ke masyarakat pada peringkat akar umbi.

“Perancangan yang sistematik amat penting, termasuk penetapan sasaran hasil yang realistik dan boleh dicapai oleh setiap jabatan. Perlis tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat, sebaliknya perlu membangunkan kapasiti penjanaan pendapatan sendiri agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan,” titah baginda.

Selain itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menzahirkan teguran terhadap mentaliti kebergantungan terhadap bantuan walaupun ramai sebenarnya berupaya berdikari.

“Sikap sedemikian menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat dan mesti ditinggalkan demi kepentingan bersama,”tegas baginda.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bertitah bahawa bahawa pengurusan data yang tepat, lengkap dan menyeluruh merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan perancangan serta pelaksanaan dasar. Kekurangan kepakaran dalam pengumpulan dan analisis data dikenal pasti sebagai antara kekangan utama yang perlu ditangani segera bagi memastikan keputusan yang dibuat bersandarkan maklumat sahih, bukan sekadar anggaran atau andaian.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat ke Majlis Reunion Program Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah ( Eks Perbah) sebanyak tiga siri bagi tahun 2025 yang didakan di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Rahimi Ismail, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBrs Dr. Noriman Rojulai.

Majlis tersebut dianjurkan bagi memaklumkan perkembangan status serta perancangan tindakan susulan berhubung dengan isu yang telah dibincangkan dalam sesi percambahan minda Eks Perbah sebelum ini.

Pembentangan disampaikan oleh Dr. Noriman, Leftenan Kolonel Lasahi dan Brigedier Jeneral Dr. Wan Edenin bagi merangka strategi penyelesaian terhadap cabaran semasa serta memastikan cadangan dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit demi memperkukuh keberkesanan program.

Perkongsian ini turut berperanan sebagai platform untuk merangka strategi penyelesaian terhadap cabaran semasa dan menggalakkan pertukaran idea antara peserta, sekali gus memastikan setiap cadangan yang diusulkan dapat diterjemahkan menerusi tindakan berkesan demi memperkukuh keberkesanan program Eks Perbah pada masa hadapan.

Sebelum itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke majlis santapan Tengah hari di Dewan Bankuet, sebelum menyempurnakan simbolik prapelancaran Eks Perbah 2026.

Yang turut hadir dalam pogram Eks Perbah termasuklah Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, dan Pensyarah Puspahanas, Brigedier Jeneral Dr. Wan Edenin Wan Mahsin.

 

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan simbolik perasmian Eks Perbah.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi