Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Puncak Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor terus memperkukuh komitmen dalam melahirkan graduan berdaya saing melalui penganjuran Karnival Ilmu dan Penyelidikan UCS 2025: Kolaborasi Pintar Industri dan Mahasiswa, yang berlangsung pada 18 dan 19 November 2025 di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Kampus Puncak Alam. Program yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menarik lebih 4000 pengunjung secara fizikal dan dalam talian.
Penganjuran karnival ini turut sejajar dengan dapatan Graduate Tracer Study 2024 yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan Malaysia meningkat kepada 91.6 peratus, sekali gus mengukuhkan keperluan pendedahan industri dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi pasaran kerja. Namun begitu, Graduate Statistics Malaysia 2023 menunjukkan masih terdapat cabaran dalam memastikan graduan memperoleh pekerjaan yang setara dengan kelayakan mereka, menjadikan hubungan antara akademia dengan industri semakin kritikal.
Program anjuran Bahagian Hubungan Industri, Alumni, Komuniti dan Keusahawanan (iCARE) melalui kerjasama Hal Ehwal Pelajar, PTAR serta Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI), karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti merangkumi sesi industri, pembangunan pelajar, pameran, serta libat urus universiti.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan pendedahan pelajar terhadap peluang kerjaya, memperkukuh kemahiran masa hadapan serta membuka ruang jaringan profesional bersama-sama dengan wakil industri.
Lebih 54 reruai dibuka sepanjang karnival dengan melibatkan lebih 20 rakan industri dan 30 reruai kelab pelajar serta jabatan dalaman UiTM. Sesi perkongsian industri menjadi tumpuan, khususnya pada hari kedua apabila wakil daripada Sunway Group, Watsons (M) Sdn. Bhd. dan Genting Malaysia Berhad membincangkan topik kemahiran masa hadapan, peluang kerjaya dalam sektor kesihatan dan sains, serta jangkaan majikan terhadap pelatih dan graduan baharu.
Secara keseluruhan, Karnival Ilmu dan Penyelidikan UCS 2025 berjaya berfungsi sebagai platform penghubung antara mahasiswa dengan industri. Inisiatif ini membuka ruang kepada pelajar meneroka peluang kerjaya, memahami keperluan semasa pasaran dan membina jaringan profesional, selaras dengan aspirasi UiTM for Society 5.0 dalam membentuk graduan kompeten, responsif dan berdaya saing pada peringkat nasional dan global.