Diterbitkan pada 19 November 2025, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraikan kecemerlangan para sarjana, penyelidik dan warganya dalam Majlis Sanjung Sarjana UiTM 2025 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Wyndham Acmar Klang Hotel, Bandar Baru Klang, malam tadi.

Majlis anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) dengan kerjasama Unit Komunikasi dan Ketampakan Penyelidikan (UKKP) ini diadakan bagi menghargai sumbangan serta kejayaan warga UiTM dalam bidang penyelidikan, penerbitan, inovasi dan harta intelek sepanjang tahun 2024. Sebanyak 144 penyelidik dan sarjana UiTM diraikan menerusi pelbagai kategori pengiktirafan.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap kejayaan para penyelidik UiTM yang semakin menyerlah dalam ekosistem penyelidikan nasional dan antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian sepanjang 2024 termasuk peningkatan penerbitan berindeks, kejayaan memperoleh geran penyelidikan nasional, industri dan antarabangsa, serta kejayaan signifikan dalam penciptaan harta intelek menunjukkan UiTM kini berada pada landasan tepat ke arah universiti bertaraf dunia.

“Kita mahu penyelidik UiTM tidak hanya dikenali atas bilangan penerbitan, tetapi melalui nilai kemanusiaan, keaslian budaya dan kekayaan identiti yang menjadi asas kekuatan bangsa. Inilah yang menjadikan UiTM Globally Renowned, Locally Rooted,” ujarnya.

Antara penerima Anugerah Utama Majlis Sanjung Sarjana UiTM ialah Anugerah Tokoh Penyelidik 2024: Profesor Dr. Wong Tin Wui (Fakulti Farmasi)

Majlis tahun ini membawa tema “Pesona Budaya Dunia”, mencerminkan aspirasi UiTM untuk menonjolkan hasil penyelidikan bertaraf antarabangsa sambil mengekalkan keunikan warisan budaya tempatan.

Simbol tema ini menekankan bahawa dunia akademia bukan hanya berkisar pada inovasi semata-mata, malah turut mendukung nilai budaya, keaslian dan identiti bangsa yang diterjemahkan dalam penyelidikan dan reka cipta warga UiTM.

Antara kategori anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah Utama, Penerbitan dan Sitasi, Perolehan Geran, Entiti Kecemerlangan, Paten dan Pengkomersialan, Khas Penerbit UiTM dan Anugerah Jurnal Terbitan UiTM.

Kesemua penerima dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam penerbitan berimpak tinggi, penciptaan teknologi, penghasilan inovasi, kejayaan memperoleh dana penyelidikan, dan sumbangan signifikan kepada komuniti penyelidikan.

Antara penerima Anugerah Utama Majlis Sanjung Sarjana UiTM ialah Anugerah Tokoh Penyelidik 2024: Profesor Dr. Wong Tin Wui (Fakulti Farmasi), Anugerah Penyelidik Cemerlang 2024: Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim (Fakulti Perubatan) dan Anugerah Penyelidik Harapan 2024: Profesor Madya Dr. Muhammad Kamil Yaakob (Fakulti Sains Gunaan)

Majlis Sanjung Sarjana UiTM 2025 bukan hanya sebuah acara pengiktirafan, tetapi menjadi komitmen universiti dalam memupuk budaya penyelidikan dan inovasi yang menyeluruh serta mampan.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi