Diterbitkan pada 17 November 2025, 19:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) terus memperkukuh usaha memperkasakan pendidikan kelestarian dengan menganjurkan Program Antarabangsa Pengenalan Agenda Kelestarian 2025 yang menghimpunkan sebanyak 10 orang mahasiswa dari Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia.

Program intensif selama lima hari berlangsung dari 10 hingga 14 November 2025 di Kampus Induk USM, Pulau Pinang. Inisiatif ini bertujuan memperluas pemahaman peserta terhadap pelbagai dimensi pembangunan mampan, seiring komitmen USM sebagai institusi yang aktif mengetengahkan agenda kelestarian di peringkat serantau.

Dalam program tersebut, peserta mengikuti pelbagai sesi ilmiah, perbincangan akademik dan pelibatan komuniti yang memberikan pendedahan menyeluruh kepada isu semasa global.

Kuliah pertama dari Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Wan Norhaniza yang menghuraikan konsep ekonomi hijau, penggunaan sumber secara bertanggungjawab, serta kepentingan pembangunan komuniti dalam kerangka kelestarian. Sesi ini membuka ruang perbincangan mengenai cabaran negara membangun dalam menyeimbangkan keperluan pertumbuhan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Perkongsian seterusnya dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat oleh Dr. Normaliza. Beliau menekankan kepentingan pengurusan air dan sisa dalam pembangunan mampan, selaras dengan objektif SDG 6. Penjelasan yang diberikan merangkumi isu akses air bersih, sanitasi dan kesan pencemaran terhadap kesihatan komuniti, dengan menawarkan perspektif baharu kepada peserta tentang isu yang sering dihadapi negara membangun.

Peserta dibawa melawat tapak Projek Madu Kelulut untuk meninjau kaedah penternakan lebah kelulut serta penghasilan madu tempatan.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk lawatan ke Projek Penanaman Cendawan Volvariella, yang memberikan pendedahan mengenai teknik pertanian lestari dan inovasi dalam penghasilan makanan.

Peserta seterusnya dibawa melawat ke tapak Projek Madu Kelulut untuk meninjau kaedah penternakan lebah kelulut, penghasilan madu tempatan, serta potensi projek tersebut dalam meningkatkan ekonomi komuniti luar bandar. Taklimat semasa lawatan tersebut disampaikan oleh Encik Muhamad Hamzah Abdul Hamid.

Peserta dari UNNES, Lydia Felisa menyifatkan program tersebut memberikan pengalaman pembelajaran terancang yang membuka perspektif baharu tentang pendekatan Malaysia dalam kelestarian. Beliau berpendapat bahawa usaha USM dalam melibatkan komuniti setempat menunjukkan model pelaksanaan SDG yang mampan.

Rakannya, Shada Muyassar pula menjelaskan bahawa kombinasi antara kuliah akademik, perbincangan dan aktiviti lapangan membantu mengukuhkan kefahaman teori yang dipelajari di universiti.

“Interaksi dengan masyarakat dan penyelaras projek memberikan gambaran jelas tentang cabaran sebenar pelaksanaan inisiatif kelestarian,”ujarnya.

Sementara itu, pembantu pelajar USM, Daniel Anak Dennis menegaskan bahawa program ini berpotensi memperkukuh jaringan akademik dan pertukaran idea antara kedua-dua universiti. Beliau percaya kerjasama seumpama ini mampu memupuk pemikiran serantau dalam isu kelestarian.

Taufik Jefri pula menyatakan bahawa pelibatan pelajar tempatan dalam menyelaras aktiviti peserta antarabangsa memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan acara.

“Pengalaman ini bukan sahaja bermanfaat dari sudut pembangunan sahsiah, malah turut meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian budaya dan pendekatan pembelajaran,” kata beliau.

Selain sesi akademik, program ini turut menampilkan sesi pertukaran pandangan bersama-sama wakil pelajar dari Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR). Sesi ini memberikan ruang kepada pelajar USM dan UNNES bertukar pandangan tentang peranan mahasiswa dalam memperkukuh budaya kelestarian di kampus, termasuk usaha advokasi, kepimpinan komuniti dan projek kesukarelawanan. Interaksi ini turut mengukuhkan jaringan pemahaman antara pelajar kedua-dua universiti.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh hubungan antarabangsa serta memperluas peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang menerajui agenda kelestarian.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi