Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – Usaha berterusan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam memartabatkan agenda kebajikan terus memberikan impak mendalam, bukan sahaja dalam negeri, malah turut menggerakkan inspirasi pada peringkat antarabangsa.
Pengurus Zakat dan Wakaf Kenya Red Cross, Rufae Abdullah, menzahirkan rasa teruja dan kagum atas keprihatinan serta kemurahan hati baginda selepas menyaksikan sendiri pendekatan baginda yang sentiasa turun padang menyantuni masyarakat yang memerlukan di negeri Perlis.
“Saya amat menghargai kunjungan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Kenya sebelum ini, dan saya sendiri merasai kemurahan hati baginda.
“Pada awalnya, saya menyangka kebaikan baginda hanya terserlah di luar negara, namun setelah saya melihat sendiri aktiviti dan usaha kebajikan di negeri Perlis, saya amat terharu dan terkesan dengan keprihatinan baginda,” ujar beliau.
Menurut Rufae Abdullah, kesungguhan baginda yang berbasikal merentasi kampung serta bertemu rakyat untuk menyalurkan bantuan merupakan tindakan luar biasa yang sangat memberikan inspirasi kepada beliau.
“Tuanku tidak perlu melakukan semua itu, namun atas sifat keprihatinan dan kemurahan hati, baginda tetap memilih untuk turun padang. Tindakan mulia ini memberikan pelajaran yang sangat berharga kepada saya mengenai sifat kepimpinan yang penuh dengan nikai kasih sayang,”tambah beliau.
Tambah beliau lagi, pengalaman tersebut menjadi pencetus semangat kepada dirinya apabila pulang ke Kenya kelak.
“Apabila saya kembali nanti, saya berhasrat melaksanakan inisiatif serupa bagi membantu masyarakat di kampung halaman saya,” katanya lagi.
Penghargaan tersebut disampaikan pada penghujung program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Guar Gajah, Arau, baru-baru ini.
Sebelum itu, turut berlangsungnya persidangan yang menghimpunkan 10 peserta dari Malaysia, lapan dari Indonesia, dua dari negara Thailand, satu dari negara Kemboja, dua dari negara Singapura, serta masing-masing seorang dari negara Ethiopia, Namibia, Rwanda dan Kenya.
Turut hadir dalam persidangan tersebut termasuklah tokoh dari benua Afrika, Mufti Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya; Ahli Jawatankuasa Islam Ethiopia, Profesor Ademi Kamil Faris serta wakil Pusat Islam Windhoek Namibia, Dr. Ahmad Cheikhyoussef.
Persidangan berkenaan bertujuan memperkukuh semangat ta‘awun atau kerjasama dalam gerakan dakwah, menyediakan platform perbincangan dan pertukaran ilmu serta mengukuhkan jaringan strategik antara institusi keagamaan rantau Nusantara dengan Afrika.
Berdasarkan rekod, Rufae Abdullah merupakan seorang peserta Nusantara–Africa Scholars Summit 2025 yang berada di Perlis sempena Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga dan Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) 2025.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima, iaitu Sha’ari Ismail, 61 tahun, dari Kampung Batas Liku; Norjuliana Ibrahim, 42 tahun, dari Kampung Guar Lepai dan Halimah Mat, 74, dari Kampung Kubang Batu.
