Diterbitkan pada 12 November 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Program Kembara MDK peringkat Negeri Sabah diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang berlangsung dari 12 hingga 16 November 2025.

Pelaksanaan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuk menjadikan pembacaan sebagai satu daripada budaya hidup.

Bagi meningkatkan pembudayaan ilmu, program ini terus dilaksanakan kepada pelajar dan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah terpilih kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah.

Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah yang juga mantan Editor Majalah Dewan Bahasa, YBrs. Encik Zaidi Ismail sewaktu mengendalikan Program Kembara MDK.

Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar, menggalakkan penggunaan bahan bacaan yang berkualiti di sekolah serta mengasah dan memperkembang bakat dan potensi diri pelajar dalam bidang penulisan.

Sebanyak 100 orang pelajar sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu telah menyertai Program Kembara MDK ini yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah yang juga mantan Editor Majalah Dewan Bahasa, YBrs. Encik Zaidi Ismail.

Sepanjang program ini berlangsung, peserta telah diperkenalkan dengan majalah terbitan DBP, khususnya majalah Dewan Siswa. Pelajar juga turut didedahkan dengan peluang penulisan dalam majalah terbitan DBP. Dewan Siswa merupakan majalah terbitan DBP yang diterbitkan sejak Januari 1979. Majalah ini menyajikan rencana yang mengupas tentang isu semasa dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kebudayaan dan kesihatan. Sasaran pembacanya ialah pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan golongan remaja.

Sebanyak 100 pelajar sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu telah mengikuti Program Kembara MDK ini.

Untuk rekod, Program Kembara MDK ini mula dilaksanakan pada tahun 1989 oleh Bahagian Majalah dan Bahagian Perniagaan DBP. Pada peringkat awal, program ini bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu, khususnya dalam mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, Program Kembara MDK turut diadakan untuk mendekatkan pelajar dengan majalah terbitan DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi