Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – “Ilmu yang disertai nilai dan budi pekerti mampu melahirkan insan yang cemerlang dalam pemikiran serta luhur dalam tindakan,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang untuk Pelajar Terbaik dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kangar.
“Ilmu itu cahaya dan cahaya hanya akan bersinar dengan adab,” titah baginda.
Baginda bertitah bahawa tanpa adab, ilmu akan kehilangan keberkatan dan maknanya yang sebenar.
Baginda turut menyeru para pelajar supaya menjadikan kecemerlangan sebagai amalan hidup seharian, bukan hanya sasaran untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan.

“Binalah kekuatan diri melalui nilai kejujuran, kesungguhan, hormat kepada guru dan kasih kepada ibu bapa,” titah baginda lagi.
Baginda menambah bahawa kejayaan yang disertai dengan nilai murni akan menjadi bekalan berharga sepanjang hayat seseorang insan kerana nilai tersebut membentuk asas keperibadian yang teguh.
Titah baginda, kejayaan menuntut usaha, pengorbanan dan disiplin yang berterusan, oleh itu setiap langkah kecil yang diambil pada hari ini menjadi asas kepada masa hadapan yang gemilang.
Keberangkatan tiba baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus dan Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Puan Rose Aza Che Ariffin.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri JPN Perlis ini bertujuan untuk membimbing pelajar cemerlang dan pengawas sekolah agar terus meneguhkan jati diri, kepimpinan serta semangat kecemerlangan akademik yang berterusan.
Dalam majlis tersebut, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada para fasilitator Bengkel Jati Diri 2025 dan Kem Jati Diri 2025 yang terdiri daripada 12 orang fasilitator lelaki.
Baginda turut mengurniakan watikah penghargaan kepada Yang Dipertua Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL), YBhg. Datuk Md Silmi Abd Rahman atas sumbangan dan komitmen berterusan beliau serta PPKL dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan pelajar di negeri ini.
Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pula berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada 12 fasilitator wanita sebagai tanda pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan mereka dalam membimbing generasi muda.