Diterbitkan pada 8 November 2025, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Penubuhan galeri khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dicadangkan sebagai usaha untuk mengiktiraf bakat kreatif mereka dan menyediakan platform yang inklusif untuk mempamerkan hasil karya seni, buku dan inovasi literasi di bawah pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator Tuan Isaiah D. Jacob, DBP berperanan penting dalam memperkasakan komuniti OKU, khususnya dalam bidang penerbitan dan kesusasteraan.

“Saya berharap pihak DBP dapat menubuhkan galeri untuk menempatkan dan mempamerkan hasil penerbitan hasil karya golongan OKU, sekali gus memberikan pengiktirafan terhadap kreativiti mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Apresiasi OKU 2025 bersempena dengan Hari OKU Sedunia 2025 yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, hari ini.

Beliau turut mengulas tema sambutan tahun ini, “Sastera Jambatan Insani: Kesedaran, Kecaknaan, Keprihatinan” yang dianggap sarat dengan nilai kemanusiaan dan mesej yang mendalam.

“Tema tersebut menyeru orang ramai untuk melihat sastera bukan sekadar seni kata tetapi sebagai jambatan yang menyatukan jiwa manusia, membina kesedaran dan menyemai keprihatinan terhadap sesama insan,” ujarnya.

Tambah beliau, sastera ialah suara hati nurani manusia yang menzahirkan perasaan, membuka mata terhadap realiti kehidupan dan mengajar kita memahami makna empati.

“Dalam konteks OKU, sastera menjadi ruang untuk menzahirkan suara yang jarang-jarang didengarkan, yakni suara yang membawa harapan dan memberikan hikmah kehidupan yang sebenar,” katanya lagi.

Dalam ucapan yang sama, beliau menyarankan penubuhan Akademi Seni dan Budaya, khususnya kepada golongan OKU sebagai wadah untuk mereka mempelajari, memupuk dan mengembangkan bakat dalam pelbagai bidang seni serta kebudayaan.

Saya juga melihat bahawa golongan OKU mempunyai potensi besar dalam bidang seni dan wajar diberikan sokongan serta ruang oleh agensi kerajaan untuk terus berkarya.

Ahli Dewan Negara, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Program Apresiasi OKU 2025 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, hari ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar menzahirkan penghargaan terhadap kolaborasi antara Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab) dengan DBP dalam mengangkat karya sastera kreatif ke dunia OKU, khususnya bagi komuniti penglihatan serta pendengaran dan pertuturan.

Beliau menjelaskan bahawa usaha menterjemahkan puisi ke dalam tulisan Braille dan bahasa isyarat bukan sahaja memperluas akses kesusasteraan, malah menjadi simbol bahawa seni dan bahasa ialah hak sejagat tanpa batas kemampuan.

“Bukan sekadar meraikan seni dan kreativiti, kami ingin mencipta sejarah baharu dengan mencatatkan acara tersebut dalam The Malaysia Book of Records sebagai Persembahan Seni Inklusif OKU Terbesar di Malaysia,” katanya merujuk inisiatif Persembahan Seni OKU Berskala Besar yang bakal dianjurkan oleh UKM pada tahun hadapan.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM Kampus Kuala Lumpur, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ketika menyampaikan ucapan dalam Program Apresiasi OKU 2025.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, golongan OKU ialah insan pemangkin yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat produktif dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, semangat serta dedikasi golongan OKU dalam menghasilkan karya kreatif membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

“DBP sentiasa mengiktiraf usaha golongan OKU yang berani menzahirkan suara hati dan bakat luar biasa mereka melalui karya yang memberikan inspirasi kepada masyarakat,” ujarnya.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Antara pengisian utama Program Apresiasi OKU 2025 termasuklah Wacana Interaktif Penulisan Kreatif, Translasi Braille Karya Sasterawan Negara dan Deklamasi Bahasa Isyarat yang memberikan ruang kepada peserta OKU menonjolkan bakat dalam bidang sastera dan bahasa.

Sesi bimbingan Wacana Interaktif Deklamasi Bahasa Isyarat yang diketuai oleh jurulatih.
Pengarah Program Sambutan Hari OKU 2025, YBrs. Profesor Madya Dr. Rafidah Ibrahim membimbing peserta OKU dalam Wacana Interaktif Penulisan Kreatif.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Program Sambutan Hari OKU 2025, YBrs. Dr. Fatimah Hani Hassan, ahli jawatankuasa dan barisan pegawai DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi