Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia sekali lagi melakar sejarah negara di persada antarabangsa apabila berjaya dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Pengumuman bersejarah ini dibuat semasa Persidangan Agung UNESCO Ke-43 yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB), Fadhlina Sidek yang juga merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, menyifatkan kejayaan ini sebagai pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan, sumbangan dan keupayaan Malaysia dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan sejagat yang inklusif dan mampan.
“Mewakili Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota UNESCO yang telah memberikan kepercayaan ini. Kejayaan ini merupakan hasil usaha bersama pasukan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Kementerian Luar Negeri serta rakan-rakan strategik yang sentiasa komited memperjuangkan kepentingan bersama pada peringkat global,” ujar beliau.
Beliau menyifatkan pemilihan Malaysia merupakan satu amanah besar untuk memastikan suara negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dan dihormati, sekaligus menyerlahkan komitmen berterusan Malaysia dalam membina masa hadapan yang lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang.
“Malaysia akan terus menjadi rakan strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO, memacu dasar serta inisiatif yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan, serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar dunia,”tambah beliau.
Dengan mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akan datang, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030.