Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Peluasan projek Kelas Pintar dijangka mula dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan dengan pertambahan 400 buah institusi pendidikan yang terdiri daripada 2,000 buah kelas, termasuk sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek berkata, projek berkenaan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima pada tahun ini.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Kelas Pintar yang dikenali sebagai Projek Rintis Kelas Hibrid sebelum ini di 110 buah sekolah melibatkan 550 kelas pada tahun 2021.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Tenggara, YB Tuan Haji Mandzri Haji Nasib menerusi jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin mengenai perancangan kementerian untuk memastikan pendidikan digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh di semua sekolah, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman serta peruntukan peranti digital kepada pelajar daripada keluarga B40.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pihak KPM menyediakan makmal komputer yang dilengkapi peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk komputer riba, pencetak multifungsi, projektor dan troli pengecas (charging cart) secara berperingkat.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui tiga fasa, bermula pada tahun 2021 hingga tahun 2023 dengan agihan sebanyak 244,158 unit peranti.
“Peluasan bagi baki 1,801 buah sekolah sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada tahun 2026,” ujarnya.
“Langkah ini membuktikan komitmen KPM untuk memastikan pendidikan digital dapat diakses oleh semua murid tanpa mengira lokasi, termasuk murid daripada keluarga B40 agar mereka tidak tercicir dalam arus pendigitalan pendidikan negara,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menyatakan bahawa pihaknya turut melaksanakan kerja menaik taraf capaian Internet di semua institusi pendidikan, termasuk sekolah di kawasan pedalaman.
Kata beliau, kerja itu melibatkan penyediaan kemudahan teknologi jalur lebar (broadband) dengan kelajuan sehingga 30Mbps, teknologi gentian (fibre) antara 300 hingga 800Mbps, serta teknologi satelit dengan kelajuan sehingga 100Mbps.
Langkah tersebut memastikan setiap sekolah mempunyai akses Internet yang stabil dan berkelajuan tinggi bagi menyokong proses pendigitalan pendidikan.
“Selain capaian Internet, KPM turut melengkapkan sekolah dengan kemudahan peralatan ICT seperti papan pintar, televisyen pintar dan komputer riba,” katanya.