Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa Perdana Menteri Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerjanya ke negeri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada hari ini berikutan keadaan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan.
Pembatalan itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan selepas YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas.
Menurut kenyataan PMO lagi, YAB Perdana Menteri telah dinasihati oleh pasukan perubatan agar berehat secukupnya bagi memulihkan keadaan kesihatan beliau.
Sehubungan dengan itu, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim turut merakamkan permohonan maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.
Mengikut jadual asal, beliau sepatutnya merasmikan Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 di Lurah Semantan, Temerloh, hari ini.
Selain itu, beliau turut dijadualkan menghadiri ke program Temu Anwar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang dan sesi ramah mesra bersama-sama penggerak industri Kuantan yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kuantan.