Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia telah menganjurkan Seminar Keciciran Murid ASEAN dari 28 hingga 30 Oktober 2025 bagi memperkukuh komitmen Malaysia dalam menangani cabaran keciciran pendidikan dalam kalangan murid dan belia di rantau ini.
Seminar yang bertemakan From Margin to Center: Bridging Out-of-School Children and Youth (OOSCY) Intersectionalities through Innovative Solutions itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina binti Sidek, sebagai manifestasi iltizam Malaysia dalam memperkukuh akses pendidikan inklusif di rantau ASEAN.
Penganjuran ini merupakan susulan Kenyataan Kebersamaan Langkawi (Langkawi Joint Statement) hasil persidangan meja bulat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN yang diadakan pada Jun lalu, sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia terhadap usaha menangani cabaran sistemik dan kompleks yang dihadapi oleh kanak-kanak dan belia terpinggir di rantau ASEAN.
Sebanyak 100 peserta dari negara anggota ASEAN, Mongolia, China dan India menyertai seminar berkenaan, bersama-sama rakan strategik termasuklah UNICEF, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).
Selain itu, aktiviti Children’s Co-Lab turut dilaksanakan bagi memperkasakan suara dan pandangan murid dalam membentuk dasar serta intervensi pendidikan yang lebih inklusif.
Antara tumpuan utama seminar tersebut termasuklah pembentangan strategi inovatif berasaskan data dan bukti serta pengukuhan kerjasama dan integrasi teknologi canggih, khususnya kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan kualiti data dan menyokong pelaksanaan program intervensi berimpak tinggi bagi menangani isu kanak-kanak dan belia yang tidak bersekolah.
Pada masa yang sama, YB Fadhlina binti Sidek turut melancarkan Sistem Pengesanan Murid KPM-SiPKPM, sebuah sistem berasaskan analitik ramalan bagi mengenal pasti laluan pembelajaran dan kerjaya yang diperibadikan untuk murid berisiko atau telah tercicir. Hal ini sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap strategi pengekalan dan pengintegrasian semula berasaskan data.

Penganjuran seminar ini menzahirkan iltizam bersama-sama beberapa buah negara ASEAN dan rakan antarabangsa bagi menangani isu keciciran murid serta memastikan setiap kanak-kanak dan belia mendapat peluang pendidikan yang berkualiti, saksama dan inklusif.
