Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melabuhkan tirainya semalam dengan Malaysia menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN kepada Republik Filipina.
Dalam ucapan penutupan, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran sidang tersebut serta menekankan bahawa era kepengerusian Malaysia telah membawa semangat baharu dalam mengukuhkan hubungan serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata, di bawah kemudi Malaysia, ASEAN telah memperkukuh jalinan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik termasuk Brazil dan Afrika Selatan, iaitu dua negara penting dalam kumpulan kesatuan ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) serta memperkukuh hubungan dengan Rakan Dialog seperti Kanada, Rusia, Kesatuan Eropah, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Amerika Syarikat.
“Negara-negara ini telah bersama-sama melontar pandangan dalam membentuk dunia yang berupaya memasak harapan dan mengangkat kemakmuran ekonomi ke tingkat yang lebih bermaruah,” ujar beliau.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan kepada Presiden Republik Filipina, Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr., yang bakal memegang tampuk Pengerusi ASEAN seterusnya. Beliau berharap Filipina akan terus memperjuangkan perpaduan serta keamanan di rantau ini.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menyatakan rasa terharu apabila secara rasmi mengumumkan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN. “Saya menginsafi sejarah dan derita Timor-Leste pada masa lalu, dan dari sudut hati yang terdalam, saya ucap tahniah setingginya kepada Timor-Leste dan seluruh rakyatnya atas kejayaan besar ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dengan Thailand merupakan satu pencapaian bersejarah yang menyerlahkan peranan Malaysia sebagai pemangkin diplomasi damai ASEAN, sekali gus melambangkan kesepaduan rantau dalam menjunjung keamanan dan kestabilan.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas komitmen terhadap Pelan Damai Gaza, sambil menegaskan pendirian Malaysia bahawa “Palestin harus selamat, merdeka dan berdaulat.”
Menutup sidang kemuncak itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, pasukan keselamatan serta semua pihak yang menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan penuh cemerlang.
“Rakyat Malaysia telah menyambut barisan tetamu negara dengan kemesraan dan mengangkat hospitaliti negara ke tahap tertinggi. Pasukan keselamatan pula menjamin perjalanan sidang yang teratur dan selamat. Usaha ini membuktikan kemampuan kita meletakkan diplomasi Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan,” katanya.
Dengan penyerahan rasmi kepada Filipina, ASEAN kini melangkah ke fasa baharu kerjasama serantau, berpaksikan perpaduan, keamanan dan kemakmuran bersama.