Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya — Median upah bulanan pekerja sektor formal di Malaysia meningkat sebanyak 4.3 peratus, iaitu berjumlah RM2,864 pada Jun 2025, sekali gus mencerminkan daya tahan serta pertumbuhan berterusan pasaran buruh negara. Demikian menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Kedua 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh negara kekal kukuh, disokong oleh peningkatan berterusan penduduk bekerja serta pertumbuhan positif dalam guna tenaga formal.
“Bilangan pekerja formal warganegara terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus kepada kira-kira 6.97 juta orang pada Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata bahawa dalam tempoh yang sama, median upah bulanan meningkat sebanyak 3.6 peratus pada April, sebanyak 5.4 peratus pada Mei dan sebanyak 4.3 peratus pada Jun 2025.
Statistik DOSM menunjukkan pekerja lelaki membentuk sebanyak 55.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja formal (3.84 juta orang) dengan median upah bulanan sebanyak RM2,900, manakala pekerja perempuan (44.9 peratus, 3.13 juta orang) memperoleh sebanyak RM2,800.
“Pekerja formal lelaki menerima sebanyak RM100 lebih daripada perempuan bagi median upah bulanan,” jelas YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir.
Semua kumpulan umur mencatatkan peningkatan upah, dengan pertumbuhan tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja bawah 20 tahun yang menerima sebanyak RM1,700 (meningkat sebanyak 13.3 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya).
Sementara itu, pekerja berumur 45 hingga 49 tahun memperoleh median upah tertinggi sebanyak RM3,800.
Dari segi sektor, Perlombongan dan Pengkuarian mencatatkan median upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,500 (pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus) diikuti oleh sektor Pembinaan, Perkhidmatan, Pembuatan dan Pertanian. Sektor Pertanian, yang mewakili sebanyak 1.9 peratus daripada pekerja formal, mencatat median upah terendah sebanyak RM2,200, namun tetap meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun ke tahun.
Menurut laporan itu, semua negeri menunjukkan pertumbuhan positif, dengan tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional sebanyak RM2,864. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan median upah tertinggi sebanyak RM4,064, diikuti Selangor sebanyak RM3,145 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,927.
Negeri dengan median upah terendah ialah Kelantan sebanyak RM1,764, diikuti Perlis sebanyak RM1,800 serta Sabah dan Kedah sebanyak RM2,000.
DOSM turut melaporkan bahawa kira-kira 10.4 peratus pekerja formal warganegara menerima upah bulanan di bawah RM1,700, menurun sebanyak 12.2 mata peratus berbanding Jun 2024.
Analisis persentil menunjukkan kira-kira 10 peratus pekerja berpendapatan terendah memperoleh sebanyak RM1,664 atau kurang sebulan, manakala sebanyak 10 peratus tertinggi menerima sekurang-kurangnya sebanyak RM9,200, memperlihatkan jurang pendapatan kira-kira lima kali ganda antara dua kelompok tersebut.
YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir menjelaskan bahawa statistik ini berasaskan sumber data pentadbiran daripada agensi berkaitan dan memberi tumpuan kepada warganegara dalam sektor formal, khususnya sektor swasta.
“Ke hadapan, DOSM akan terus memperkukuh penyebaran statistik upah pekerja dengan mengintegrasikan pelbagai data pentadbiran bagi menghasilkan statistik yang lebih terperinci serta memperkukuh pemahaman tentang pasaran buruh negara,” katanya.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal Hab Data Pasaran Buruh (MyLabourHub).