Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Para pemimpin ASEAN menegaskan semula komitmen untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) sepenuhnya dalam menangani krisis politik di Myanmar, di samping menyeru semua pihak yang terlibat agar segera menghentikan keganasan dan memulakan dialog politik secara terangkum.
Dalam Kajian dan Keputusan Pemimpin ASEAN mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang dibentangkan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, para pemimpin menyatakan keprihatinan mendalam terhadap konflik dan situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Myanmar serta ketiadaan kemajuan ketara dalam pelaksanaan 5PC sejak persetujuannya pada tahun 2021 lalu.
ASEAN mengecam keras tindakan keganasan berterusan terhadap orang awam, kemudahan awam dan infrastruktur sivik di Myanmar. Semua pihak diminta menghentikan segera keganasan tanpa diskriminasi, menolak sebarang bentuk peningkatan konflik serta menjamin keselamatan orang awam.
“ASEAN kekal komited dalam membantu Myanmar mencari penyelesaian aman dan berkekalan terhadap krisis yang sedang dihadapi, memandangkan Myanmar merupakan sebahagian penting daripada ASEAN,” menurut kenyataan bersama tersebut yang dimeterai semalam.
Para pemimpin turut menghargai usaha Pengerusi ASEAN dalam memastikan kemajuan pelaksanaan 5PC secara menyeluruh, dengan matlamat utama memulihkan keamanan, kestabilan dan demokrasi menerusi penyelesaian politik yang dipimpin dan dimiliki rakyat Myanmar sendiri.
Sidang turut menyambut baik lawatan kemanusiaan bersama oleh Menteri Luar Malaysia dan Thailand pada 5 April 2025, serta lawatan kerja Menteri Luar Malaysia ke Nay Pyi Taw pada 9 Oktober 2025 dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.
ASEAN turut memuji usaha utusan khas Pengerusi ASEAN dalam mengadakan libat urus inklusif dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar, termasuk pertubuhan serantau dan antarabangsa, bagi memupuk kepercayaan dan menggalakkan dialog nasional yang menyeluruh.
Dalam kenyataan itu juga, ASEAN mengiktiraf kepentingan pendekatan yang lestari dan inklusif dalam membina kepercayaan, memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi serta menggalakkan penghentian keganasan.
Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre) turut diberi penghargaan atas keberkesanan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar, termasuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dan komuniti yang terjejas akibat gempa bumi pada Mac 2025.
ASEAN mengalu-alukan kemajuan pelaksanaan bantuan kemanusiaan di bawah Fasa 1 (menyelamat nyawa dan respons terhadap COVID-19) dan Fasa 2 (kelangsungan hidup), serta menyatakan penghargaan kepada sokongan berterusan masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terhadap pelaksanaan 5PC.
Dalam bahagian keputusan kenyataan tersebut, ASEAN menegaskan semula 5PC sebagai rujukan utama bagi menangani krisis politik di Myanmar dan menggesa pelaksanaannya secara menyeluruh.
ASEAN turut menyeru semua pihak, khususnya angkatan bersenjata Myanmar, agar menghentikan serangan terhadap orang awam dan melaksanakan gencatan senjata yang diperluas serta diperpanjang, sebagaimana yang dipersetujui melalui Kenyataan Pemimpin ASEAN pada Mei lalu.
Negara anggota dan rakan serantau turut digalakkan menambah sokongan kewangan kepada AHA Centre bagi memastikan kesinambungan usaha bantuan kemanusiaan, termasuk melalui mekanisme rentas sempadan bagi menjamin penghantaran bantuan yang selamat, telus dan berkesan.
ASEAN turut menyatakan bahawa mesyuarat akan datang akan menilai semula keputusan ini, manakala para Menteri Luar ASEAN ditugaskan memantau perkembangan pelaksanaan 5PC dan melaporkan kemajuan tersebut pada Sidang Kemuncak ASEAN seterusnya.
Pada masa yang sama, ASEAN mengambil maklum rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember 2025 serta jemputan kepada negara anggota untuk menghantar pemerhati pilihan raya. Namun begitu, ASEAN menegaskan bahawa penghentian keganasan dan dialog politik inklusif perlu didahulukan sebelum sebarang pilihan raya dilaksanakan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Myanmar akan terus tidak diwakili secara politik dalam Sidang Kemuncak dan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN selagi tiada kemajuan bermakna dicapai dalam pelaksanaan 5PC.
ASEAN juga berikrar untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan luar, negara jiran dan PBB dalam menangani krisis Myanmar serta jenayah rentas sempadan yang berpunca daripada konflik, termasuk pemerdagangan manusia, dadah, penipuan siber dan ancaman keselamatan lain.