Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan jaminan bahawa segala langkah kesiapsiagaan telah diambil bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, berjalan lancar walaupun berhadapan dengan kemungkinan bencana alam, khususnya banjir.

Menurut kenyataan KPM pada hari ini, keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan menjadi keutamaan kementerian itu dalam menghadapi sebarang situasi tidak dijangka menjelang peperiksaan berkenaan.

KPM memaklumkan bahawa, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan antaranya termasuklah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan kelancaran proses peperiksaan.

Calon yang terlibat atau terkesan dengan bencana alam dinasihatkan segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara seperti yang dinyatakan dalam lampiran rasmi KPM.

KPM dalam kenyataan sama menegaskan komitmen untuk melaksanakan langkah persediaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya supaya peperiksaan SPM Tahun 2025, dapat diteruskan secara teratur dan selamat.

“KPM turut mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” jelas KPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi