Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 19:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dan mengeluarkan garis panduan yang bersesuaian susulan cadangan pelaksanaan langkah bagi meningkatkan keselamatan dalam  kalangan institusi pendidikan, termasuk larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah umur 16 tahun.

Menurut KPM, garis panduan tersebut dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat selepas penelitian menyeluruh dibuat agar pelaksanaannya mengambil kira keseimbangan antara keselamatan, keperluan pembelajaran dan kesejahteraan murid.

Jelas KPM, pihaknya sentiasa menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan beberapa langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan.

Sehubungan dengan itu, KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial, yang bertujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman keselamatan siber.

Ujarnya,

Mekanisme pelaksanaan dasar ini akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

KPM juga memaklumkan bahawa kesemua institusi pendidikan di bawah KPM turut dituntut untuk memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dalam memastikan aspek keselamatan sekolah terus dipertingkatkan melalui kerjasama bersepadu.

KPM menegaskan bahawa kerjasama rentas kementerian dan agensi ini merupakan cerminan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi