Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program Pembentukan Karakter, iaitu merupakan satu daripada inisiatif utama di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 yang bertujuan untuk memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni murid di semua peringkat pendidikan.
Menurut kenyataan KPM, program tersebut merupakan anjakan strategik dalam usaha melahirkan murid yang beradab, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri unggul selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Program ini menekankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memberikan tumpuan kepada penghayatan nilai, pembentukan tingkah laku positif serta penerapan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian murid,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pelaksanaan program tersebut akan dilakukan secara berstruktur dan menyeluruh, bermula pada peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah.
Pada peringkat prasekolah, aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara bersepadu dalam rutin pembelajaran harian, manakala bagi peringkat sekolah rendah dan menengah, tempoh khusus selama 60 minit seminggu akan diperuntukkan dalam jadual waktu persekolahan bagi melaksanakan aktiviti secara terancang dan berfokus.
KPM menegaskan bahawa pelaksanaan program ini merupakan cerminan komitmen berterusan kementerian dalam usaha membentuk generasi holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga unggul dari segi sahsiah dan nilai kemanusiaan.