Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 19:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) terus mengukuhkan reputasi kecemerlangan penyelidikannya apabila berjaya meraih tujuh pingat emas dan tiga pingat gangsa dalam Pertandingan Reka Cipta, Inovasi dan Rekaan Antarabangsa Pulau Pinang (PIID 2025).

Selain kejayaan tersebut, pasukan inovator universiti berkenaan turut mengungguli beberapa Anugerah Khas seperti Anugerah Inovasi Lestari, Anugerah Khas Kejuruteraan Kimia, Anugerah Khas EMZI (Kategori Ahli Akademik, Industri dan Profesional) serta Anugerah Kategori Terbaik (Ahli Akademik, Industri dan Profesional).

Pasukan penyelidik yang diketuai oleh YBrs. Sr. Dr. Muhammad Faiz Pa’suya tampil dengan 10 produk inovasi yang dihasilkan oleh pensyarah dari Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Alam Bina, serta Fakulti Sains Komputer dan Matematik, selain pelibatan para pelajar pascasiswazah.

Lebih membanggakan, projek inovasi MyVSEP: A Vertical Separation Model to Support Coastal and Offshore Surveying in Malaysia yang diterajui oleh beliau, menerima pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan tersebut sebagai pemenang Anugerah Platinum.

Muhammad Faiz ketika ditemu bual berkata, inovasi MyVSEP yang dibangunkan melalui kolaborasi Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (GI2RG), Universiti Teknologi Malaysia serta Kumpulan Penyelidikan Pemetaan Lautan dan Geospatial Marin (OMMAR), UiTM.

Kata beliau, penghasilannya berupaya meningkatkan ketepatan aras rujukan menegak di kawasan pesisir dan luar pesisir, sekali gus memberikan manfaat besar kepada sektor geodesi, hidrografi, perancangan pantai, kejuruteraan laut, minyak dan gas, pengurusan pelabuhan serta pembangunan infrastruktur maritim.

Menurutnya lagi, MyVSEP menyumbang kepada keselamatan pelayaran, perancangan pembangunan pantai yang lebih sistematik dan sokongan terhadap pengurusan bencana seperti banjir pesisir dan kenaikan aras laut.

“Kemenangan ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan penyelidik UiTM dalam bidang inovasi dan penyelidikan, malah membuka ruang lebih luas untuk kerjasama strategik dengan rakan industri pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kejayaan ini juga menjadi pemangkin untuk kami terus menghasilkan inovasi baharu yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam bidang geomatik,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), YBrs. Puan Nur Syafikah Rahim menyifatkan kemenangan ini sebagai bukti kemampuan penyelidik universiti itu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Jelas beliau, pencapaian tersebut menonjolkan kekuatan idea, ketelitian penyelidikan dan kemampuan universiti menghasilkan produk yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat.

Pengarah Program PIID 2025, YBrs. Profesor Dr. Abdul Hadi memaklumkan bahawa pertandingan itu terus berkembang pesat sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2011.

Ujar beliau, PIID kini menjadi platform utama menghimpunkan inovator daripada pelbagai latar belakang, termasuk sekolah, universiti, institusi teknikal, industri dan golongan profesional.

“Pertandingan pada tahun ini dilaksanakan sepenuhnya dalam talian melalui pembentangan video bagi membolehkan penilaian dilakukan dengan lebih telus, di samping memperluas penyertaan tanpa kekangan lokasi,” kata beliau.

PIID 2025 yang berlangsung dari 15 September hingga 2 Oktober itu berjaya menghimpunkan 282 produk inovasi dari pelbagai institusi dalam dan luar negara, termasuk penyertaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Indonesia.

Program itu merupakan anjuran Unit Pengurusan Penyelidikan dengan kerjasama Pengajian Kejuruteraan Kimia, UiTM Cawangan Pulau Pinang, membabitkan penilaian 220 orang juri berpengalaman pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Pameran produk inovasi UiTM Cawangan Perlis bersempena dengan Majlis Perasmian Penutup PIID 2025.
Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi