Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 19:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Usaha memperkukuh literasi pelajar terhadap penguasaan bahasa Melayu terus diperkasakan menerusi Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang, selain menyediakan ruang untuk menggilap bakat penulisan karya dalam majalah.

Penganjuran program berkenaan berjaya menghimpunkan sebanyak 82 orang pelajar dari pelbagai sekolah di sekitar Pulau Pinang, merangkumi 42 orang pelajar sekolah rendah dan 40 orang pelajar sekolah menengah.

Selain itu, program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut terdiri daripada pengisian MDK Dewan Siswa bagi pelajar sekolah menengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena dan MDK Dewan Pelajar untuk pelajar sekolah rendah di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Pulau Pinang.

Serentak dengan itu, pelaksanaan Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan 41 orang guru sekolah turut memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada para pendidik mengenai penggunaan majalah DBP sebagai medium pembelajaran yang interaktif di dalam bilik darjah.

Bengkel MDK untuk Guru melibatkan penyertaan peserta dalam kalangan pendidik.

Menurut Penolong Pengarah SSTP, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, YBrs. Puan Nor Mazrah Baharum, majalah terbitan DBP bukan sekadar bahan bacaan semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai sumber maklumat, alat bantu mengajar di dalam kelas, serta wadah bagi program literasi maklumat yang boleh dimanfaatkan oleh guru perpustakaan dan media (GPM).

Kata beliau, pelaksanaan program Kembara MDK secara tidak langsung berupaya mengangkat kembali peranan pusat sumber sekolah sebagai nadi ilmu dan literasi maklumat, di samping merangsang penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar.

“Program ini merupakan sebuah permulaan kepada rancangan pelbagai kegiatan susulan selepas ini yang bertujuan melatih pelajar bukan sahaja untuk mencari maklumat, malah mencipta dan menyumbang sumber maklumat yang baharu,” ujar beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di SK Pokok Sena, pada Khamis.

Beliau menambah bahawa penganjuran program Kembara MDK turut membuka ruang kepada para pelajar dan guru memperoleh input berharga berkaitan dengan bahasa dan penulisan yang mungkin telah lama ditinggalkan.

Jelas beliau, segala kemahiran dan maklumat yang diperoleh sepanjang program tersebut, dapat dimanfaatkan serta diterapkan apabila kembali ke sekolah masing-masing kelak.

“Program Kembara MDK diharapkan dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penyertaan sekolah yang lebih meluas, seterusnya menjadi pemangkin kepada tercetusnya inovasi dan daya kreativiti yang lebih segar,” ujarnya.

Sementara itu, Program Kembara MDK 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang merupakan siri keempat penganjurannya, sekali gus melabuhkan tirai sebagai lokasi terakhir bagi zon utara selepas Perak, Kedah dan Perlis sebelum ini.

Pelaksanaan program ini juga selaras dengan objektif Pelan Strategik KPM 2024–2030 di bawah Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan serta Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan.

Majlis perasmian penutupan program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Khairul Anum Mohd Ali dan Penolong Kanan Pendidikan Khas Integrasi SK Pokok Sena, YBrs. Encik Shahidan Ibrahim.

Suasana aktiviti MDK Dewan Pelajar yang melibatkan pelajar sekolah rendah.
Kredit Foto: Mohd Fauzy Mohd Rosely
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi