Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Forum ASEAN: Membentuk Masa Hadapan yang Terangkum dan Mampan anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) pada hari ini memberikan tumpuan kepada dilema keselamatan rantau Asia Tenggara dalam mendepani persaingan kuasa besar serta peranan ASEAN membentuk suara jitu serantau yang lebih terangkum dan mampan.
Sesi pleno pertama bertajuk “ASEAN’s Security Dilemma: Can ASEAN Lead its Own Regional Order Beyond Major Power Politics?” menghimpunkan tokoh akademik dan diplomat untuk membincangkan tentang dasar luar, terutamanya kepimpinan Amerika Syarikat dan China memberikan kesan langsung kepada politik, keselamatan, ekonomi serta hubungan diplomatik di rantau ini.
Pengerusi sesi, Penasihat Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Kementerian Luar Negeri Malaysia, YBhg. Datuk Jojie Samuel M.C. Samuel menegaskan bahawa semasa Malaysia mengambil alih kerusi Pengerusi ASEAN tahun ini, negara ini membawa suara kepentingan serantau, selain agenda nasional.
“Malaysia ingin memastikan ASEAN kekal bersatu, bebas menentukan arah sendiri dan tidak terikat sepenuhnya dengan percaturan kuasa besar,” katanya.
Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, YBhg. Dato’ Astanah Abdul Aziz berkata penubuhan ASEAN pada tahun 1967 berpunca daripada kesedaran negara-negara serantau bahawa keperluan setiap anggota lebih utama daripada kepentingan kuasa luar.
Beliau merujuk kepada kegagalan Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) yang ditubuhkan oleh Amerika Syarikat pada 1954, tetapi dibubarkan pada tahun 1977, kerana tidak mendapat penyertaan meluas daripada negara Asia Tenggara.
“ASEAN terbentuk berasaskan pandangan dunia kita sendiri, bukan ditentukan oleh luar. Sejak itu, ASEAN berjaya mewujudkan pelbagai inisiatif termasuk perkongsian ekonomi bersama Asia Timur (ASEAN Plus Three) dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang menjadi simbol ‘dividen keamanan’ rantau ini,” katanya.
Tambahnya, meskipun kini persaingan antara China dengan Amerika Syarikat semakin meruncing melalui gagasan Indo-Pasifik, ASEAN tetap membina realitinya sendiri.
“ASEAN telah membuktikan dan akan terus menunjukkan kredibiliti bukan hanya sebagai pengikut, tetapi sebagai pengantara, fasilitator dan penghubung untuk kestabilan serantau,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Sejarah Politik Universitas Islam Internasional Indonesia, YBhg. Profesor Dr. Farish A. Noor, pula mengingatkan bahawa ASEAN ialah “anak Perang Dingin” yang lahir daripada pragmatisme politik.
Menurutnya, dunia kini berhadapan dengan bentuk baharu Perang Dingin 2.0, namun sedikit berbeza kerana lanskap dunia kini tidak lagi berpaksikan ideologi, tetapi persaingan ekonomi dan teknologi.
“Pada abad ke-19, Asia Tenggara pernah menjadi gelanggang perebutan kuasa Eropah. Hari ini, risiko serupa boleh berulang kerana rantau ini tiada suara kolektif yang benar-benar kukuh seperti Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan organisasi supranasional,” katanya.
Namun begitu, katanya, ASEAN telah mencapai pelbagai kejayaan konkrit seperti kebebasan pergerakan rakyat, pertukaran pendidikan dan budaya serta transaksi perdagangan di bawah undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, cabaran utama kini ialah melibatkan pendekatan setiap kerajaan ASEAN yang cenderung mementingkan rakyat boleh menyeimbangkan kepentingan domestik dengan visi kolektif.
“Kita perlu bersikap realistik dan pragmatik, menggunakan alat yang ada di tangan. Sejarah menunjukkan rantau ini mampu menyesuaikan diri, dan itulah kunci untuk terus makmur,” katanya.
Selain itu, Felow Kanan Program Asia Carnegie Endowment for International Peace Amerika Syarikat, YBrs. Puan Elina Noor, memfokuskan pada dimensi baharu keselamatan serantau yang melibatkan teknologi dan infrastruktur digital.
Menurutnya, keputusan syarikat-syarikat komersial kini semakin dilihat sebagai isu keselamatan, satu bentuk sekuritisasi (securitisation) yang membawa kesan mendalam terhadap aspek geopolitik.
“Teknologi adalah asas kepada empayar moden. Dari kabel dasar laut hingga rangkaian data, kemajuan teknologi bukan sekadar kemudahan teknikal, tetapi laluan empayar yang menentukan dominasi kuasa besar,” katanya.
Beliau merujuk sejarah kabel telegraf British yang menghubungkan Singapura, Pulau Pinang dan Chennai sebagai contoh yang menyaksikan teknologi komunikasi menjadi asas kepada kekuasaan empayar Inggeris. Hari ini, katanya, fenomena itu berulang dalam bentuk persaingan membina rangkaian kabel dasar laut dan infrastruktur digital antara kuasa besar.
Tambahnya, peranan syarikat swasta juga semakin penting, apabila syarikat-syarikat ini menjadi penentu dalam keputusan yang mempunyai implikasi langsung terhadap keselamatan serantau.
“Pakar politik tidak lagi boleh mengabaikan hakikat bahawa sektor swasta turut membentuk landskap keselamatan. Persoalannya, sejauh mana ASEAN dapat mengekalkan autonomi strategiknya dalam keadaan ini,” jelasnya.
Forum tersebut merumuskan bahawa ASEAN kini berhadapan dengan dilema besar dalam mengekalkan identiti di tengah-tengah persaingan kuasa besar. Panelis sependapat bahawa ASEAN masih mempunyai agensi, aset dan keupayaan untuk mencorakkan pentadbiran serantau sendiri, namun memerlukan kesatuan politik, visi strategik dan keupayaan untuk menyeimbangkan kepelbagaian dengan perpaduan.
Para panelis juga mencapai kata sepakat dengan menekankan keperluan memahami konteks sejarah, memanfaatkan kekuatan yang dimiliki serta bersatu dalam mengurus isu baharu seperti teknologi, data dan infrastruktur digital.
Sebagai penutup, ASEAN diseru supaya tidak hanya menjadi bidak dalam percaturan geopolitik, tetapi kekal sebagai pemain utama dalam membina perintah serantau yang lebih aman, makmur dan terangkum.