Diterbitkan pada 18 September 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan jaminan bahawa keselamatan dan kesejahteraan warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah, menjadi keutamaan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu.

Dalam kejadian berkenaan, beberapa bahagian cerun serta blok bangunan terjejas. Namun begitu, tiada kecederaan yang dilaporkan. Beberapa blok terbabit sebenarnya telah ditutup dan tidak didiami sejak Julai lalu selepas arahan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Bagi memastikan risiko keselamatan tidak menjejaskan warga kampus, KPM mengarahkan pengosongan segera bangunan kuarters berhampiran kawasan runtuhan. Antara langkah proaktif lain termasuklah merobohkan blok bangunan terlibat bagi pembinaan baharu, menyewa premis luar berdekatan supaya aktiviti akademik dapat diteruskan serta membina semula tangki air yang rosak.

KPM dalam kenyataan turut menzahirkan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, atas keprihatinan beliau termasuklah melawat lokasi insiden.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi