Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang yang tertangguh sebelum ini dilaksanakan serentak bagi Fasa Pertama dan Fasa Kedua.
Baginda bertitah, langkah ini wajar dilaksanakan bagi mengelakkan gangguan terhadap suasana pembelajaran apabila sekolah mula beroperasi kelak. Langkah tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan risiko pergerakan kenderaan berat dan kerja-kerja kontraktor yang boleh menjejaskan suasana pembelajaran.
“Pelaksanaan serentak bagi kedua-dua fasa ini akan memberikan manfaat dalam jangka masa yang panjang, selain menjamin keselamatan pelajar, kelancaran operasi sekolah serta mengelakkan pembaziran masa dan kos,” titah baginda dalam pertemuan dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dalam Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai.
Dalam program tersebut, beliau turut menitahkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat semakan secara menyeluruh terhadap pelaksanaan aktiviti dan program di lima buah sekolah sukan sebelum ini di kawasan zon lain.
“Sebarang kelemahan atau kekurangan (jika ada) yang dikenal pasti boleh ditambah baik serta diterapkan di SSM Perlis supaya sekolah baharu ini dapat melahirkan atlet terbaik sukan muda negara,” titah baginda.
Pada masa yang sama, baginda juga berkenan agar program tambahan nilai seperti kemahiran TVET, pensijilan profesional termasuk kejurulatihan dan pengadilan, serta penganjuran pertandingan secara berkala di SSM Perlis.
Titah baginda, hal ini sedemikian bukan sahaja dapat melahirkan para atlet yang berprestasi tinggi, malah dapat memastikan laluan kerjaya yang lebih luas selepas menamatkan pengajian demi masa hadapan mereka.

Selain itu, DYTM Raja Muda Perlis turut menyarankan agar SSM Perlis menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Belia Sukan (KBS) bagi menjamin keberkesanan pengurusan serta menjimatkan kos.
“Sekolah Sukan Malaysia Perlis bukan sahaja bakal menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan sukan negara, malah mampu menjadi platform melahirkan generasi pelapis yang seimbang, bukan sahaja dari segi pencapaian atlet, tetapi juga pembangunan akademik, sahsiah dan kemahiran hidup,” titah baginda.
SSM bakal menempatkan sebanyak 624 pelajar bagi Fasa Pertama dan Fasa Kedua, selain menjadi pusat kecemerlangan sukan zon utara, dengan fokus cadangan awal berupa badminton, bola sepak, bola jaring, olahraga, memanah, dan sepak takraw, di samping beberapa sukan tambahan juga sedang dipertimbangkan termasuk hoki, ragbi, golf dan boling padang untuk Fasa Kedua, bagi memberi pilihan yang lebih luas serta peluang pengumpulan pingat pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.